Home Pertahanan dan Keselamatan PGA bukan sekadar barisan kedua PDRM

PGA bukan sekadar barisan kedua PDRM

by Bernama

IPOH, 25 Sept – Pasukan Gerakan Am (PGA) bukan sekadar barisan kedua dalam penugasan kepolisan, sebaliknya memberi impak terhadap kepercayaan rakyat dan kerajaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Mastor Mohd Ariff berkata ia terbukti melalui penugasan bantuan pencegahan jenayah, penugasan di Kompleks Imigresen Kastam dan Kuarantin (ICQ) serta peranan PGA dalam memastikan kestabilan ketenteraman awam yang melibatkan keselamatan negara.

“Selain daripada penugasan kawalan di pos barisan hadapan, PGA turut terlibat dalam penugasan mencari dan menyelamat bersama dengan agensi kerajaan lain.

“Di peringkat antarabangsa PGA juga terlibat dalam penugasan misi pengaman dan pemerhati di negara rantau Asia yang sedang bergolak,” katanya ketika berucap menutup Kursus Asas PGA Siri 1/2019 di Lapang Sasar Utama Briged Utara PGA Ulu Kinta di sini hari ini.

Seramai 491 orang daripada batalion seluruh negara berjaya tamatkan latihan melibatkan 73 pegawai kanan dan 418 pegawai rendah polis.

Sehubungan itu, Mastor mahu kesemua 491 orang yang tamat latihan hari ini sentiasa berusaha mempertingkatkan prestasi dan produktiviti agar dapat memberi perkhidmatan terbaik.

Mengulas lanjut, Mastor mengingatkan pegawai dan anggota agar sentiasa memiliki nilai etika yang tinggi dan mengelakkan diri dari sebarang perkara negatif yang boleh merosakkan imej sendiri, keluarga serta pasukan.

Dalam pada itu, peserta keseluruhan terbaik kategori pegawai rendah polis, Lans Koperal Mohd Faizal Abdullah, 31, mahu terus memajukan diri demi keluarga dan pasukan.

“Memang tak sangka hari ini dinobatkan sebagai peserta keseluruhan terbaik, saya tujukan anugerah ini kepada isteri dan keluarga yang banyak berkorban untuk saya.

“Selama tiga bulan meninggalkan keluarga bukan mudah saya harapkan anugerah ini juga memberi inspirasi kepada kedua-dua anak saya,” katanya – Bernama

 

Related Articles

Leave a Reply