Home Semasa Isu Kampung Baru: Kabinet bincang Rabu ini

Isu Kampung Baru: Kabinet bincang Rabu ini

by Bernama

KUALA LUMPUR, 24 Sept – Kabinet akan membincangkan mengenai kadar tawaran harga pembelian tanah pemilik dan pewaris Kampung Baru pada mesyuarat Kabinet Rabu ini.

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata beliau akan membawa perkara itu kepada Kabinet dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, untuk mencari jalan penyelesaian terbaik buat semua pihak.

“(Bincang) Lusa masa di (mesyuarat) Kabinet, kalau dapat ruang saya akan maklumkan Dr Mahathir dan daripada situ kita akan fikir satu cara (penyelesaian).

“Kita faham memang semua nak harga yang lebih tinggi daripada apa yang ditawarkan, (tetapi) apa yang kita kena buat ialah kita perlu cari satu harga yang munasabah yang memungkinkan projek ini menjadi berdaya maju,” katanya selepas menghadiri program di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur di sini, semalam.

Sabtu lepas Khalid dipetik sebagai berkata kerajaan menawarkan kadar RM850 sekaki persegi sebagai pulangan kepada pemilik dan pewaris bagi pembangunan semula Kampung Baru.

Menurut Khalid ia merupakan kadar tertinggi dinilai Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) dengan mengambil kira faktor mengekalkan syarat kepentingan pemilikan orang Melayu sahaja.

Katanya kerajaan juga tidak menolak kemungkinan untuk mempertimbangkan tawaran harga yang lebih tinggi bagi pembelian tersebut – Bernama

 

 

Related Articles

Leave a Reply