Home Semasa Guna kamera badan pastikan anggota laksana tugas dengan telus – KPN

Guna kamera badan pastikan anggota laksana tugas dengan telus – KPN

by Bernama

KUALA LUMPUR, 20 Sept – Penggunaan kamera badan pada pegawai dan anggota polis dapat mengelak penyelewengan serta memastikan setiap tugasan dilaksana dengan telus.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata beliau menyambut baik hasrat kerajaan untuk melaksanakan penggunaan kamera badan terhadap anggotanya.

“Polis amat alu-alukan dan berterima kasih kepada kerajaan serta berharap ia dapat direalisasikan secepat mungkin.

Ia (kamera badan ini) banyak membantu kerja penguatkuasaan serta boleh mengelak sebarang penyelewengan dalam tugasan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Kempen Tabung Pahlawan 2019 di Wisma Perwira.

Mengulas lanjut, beliau berkata penggunaan kamera badan dapat dijadikan bukti terhadap fitnah yang dilemparkan kepada anggota polis.

“Kalau berlaku apa-apa hal, (kamera badan) itu boleh jadi bukti untuk elak fitnah dan polis berharap lebih banyak peralatan dapat dibekalkan. Peralatan, contohnya ‘Taser gun’ juga diperlukan untuk tangkap orang gila atau orang mengamuk dan ia dapat membantu melicinkan lagi penugasan,” katanya.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilapor berkata kerajaan bersetuju untuk melaksanakan penggunaan kamera badan pada pegawai penguat kuasa seperti polis, imigresen dan kastam bagi menangani kes salah laku pegawai termasuk rasuah.

Syor penggunaan kamera badan itu dipersetujui memandangkan terdapat pelbagai dakwaan salah laku pegawai semasa bertugas seperti memukul orang yang disiasat, kata Dr Mahathir.- BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply