Home Pertahanan dan Keselamatan Elak pencerobohan pengganas, ESSZONE perketat kawalan di kawasan perairan

Elak pencerobohan pengganas, ESSZONE perketat kawalan di kawasan perairan

by Air Times News Network

KOTA KINABALU, 7 Sept – Ancaman penjenayah dari kumpulan pengganas khususnya dari kumpulan militan Abu Sayyaf  masih cuba menceroboh untuk melakukan jenayah rentas sempadan terutama di perairan Pantai Timur Sabah.

Sehubungan itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata, perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) akan dilanjutkan sehingga 23 Sept ini bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh oleh pengganas yang mengancam keselamatan para penyelidik menjalankan penyelidikan dan pelancong asing melawat pulau peranginan.

Omar berkata, perintah berkurung yang berakhir esok ini juga dilanjutkan bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan daratan ESSZONE.

“Perintah berkurung dari 6 petang hingga 6 pagi itu adalah meliputi kawasan perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran,

“Dengan berkuatkuasanya perintah berkurung itu, orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan dikehendaki berada di dalam rumah dan orang lain tidak dibenarkan masuk atau berada di kawasan diisytiharkan antara 6 petang hingga 6 pagi pada tarikh dinyatakan,

“Perintah berkurung ini akan memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot selain menimbulkan rasa selamat serta yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran pasukan keselamatan, ” katanya dalam satu kenyatan hari ini.

Beliau berkata berdasarkan maklumat, kumpulan militan Abu Sayyaf dan mereka yang menjalankan kegiatan menculik bagi mendapatkan wang tebusan dari selatan Filipina masih cuba menceroboh untuk melakukan penculikan dan jenayah rentas sempadan.

“Saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di ESSZONE bagi mengeluarkan permit kepada pemohon layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung,” jelas Omar.

Related Articles

Leave a Reply