Home Pertahanan dan Keselamatan Latihan ketenteraan di perairan negara ‘provokatif’ – Tun Mahathir

Latihan ketenteraan di perairan negara ‘provokatif’ – Tun Mahathir

by Bernama

VLADIVOSTOK, 5 Sept  – Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad pada Rabu berkata beliau tidak suka latihan ketenteraan diadakan di perairan negara kerana menyifatkan ia sebagai provokatif dan menegaskan bahawa terdapat keperluan untuk mengurangkannya demi keamanan sejagat, lapor agensi berita Rusia Sputnik.

“Secara keseluruhan, kami tidak begitu berminat untuk mengadakan latihan sedemikian. Ia selalunya amat provokatif. Baru-baru ini kami mengambil bahagian (dalam latihan bersama) dengan kumpulan ASEAN, dengan Amerika Syarikat (AS), namun saya telah menyatakan pendirian saya dalam perkara ini.

“Saya tidak suka latihan ketenteraan diadakan di perairan negara kami kerana ia cenderung untuk membangkitkan kemarahan negara-negara lain. Saya rasa kita harus mengurangkan aktiviti ketenteraan jika mahukan keamanan,” kata Dr Mahathir di luar Forum Ekonomi Timur (EEF) ketika disoal sama ada Malaysia bercadang mengadakan latihan ketenteraan bersama baharu.

Perdana menteri itu sebelum ini menyelar Latihan Maritim ASEAN-AS yang bermula pada 2 Sept dan menyifatkannya sebagai tidak mempunyai sebarang makna, turut meluahkan kebimbangan bahawa ia mungkin menyebabkan China berasa terancam dan sekali gus meningkatkan keupayaan pasukan tentera lautnya.

Beliau juga berkata Amerika Syarikat sepatutnya mengadakan latihan ketenteraan sedemikian di wilayahnya sendiri.

Bandaraya Vladivostok di Timur Jauh Rusia menganjurkan edisi kelima EEF dari 4 hingga 6 Sept dan Agensi Informasi Antarabangsa Rossiya Segodnya adalah rakan media rasmi acara itu. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply