Home Pertahanan dan Keselamatan Allahyarham Mohd Zahir ‘syahid’, Tentera Darat tubuh lembaga siasatan

Allahyarham Mohd Zahir ‘syahid’, Tentera Darat tubuh lembaga siasatan

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 4 Sept – Panglima Tentera Darat, Jeneral Dato’ Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi menzahirkan ucapan takziah kepada balu dan keluarga Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya yang terkorban semasa perasmian acara Pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia.

Menurut beliau, pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan kepada Tentera Darat Malaysia dan menyifatkan Allahyarham meninggal dunia dalam tugas yang besar pahalanya (syahid).

“TDM sangat menyayangi Allahyarham, namun Allah lebih menyayangi beliau,

“TDM telah membuat segala urusan pengebumian jenazah dan urusan kebajikan kepada waris mangsa,” jelas beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.

Sementara itu, pihak TDM akan menubuhkan lembaga siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

“Latihan demonstrasi keupayaan berkenaan telah dilaksanakan bermula pada 26 Ogos lalu,

“Walau bagaimanapun, semasa pelaksanaan demonstrasi pada hari sebenar, telah berlaku situasi yang menyebabkan kemalangan jiwa tersebut,” jelas pihak TDM.

Terdahulu, Mejar Mohd Zahir disahkan menghembuskan nafasnya yang terakhir pada pukul 9.20 pagi di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu. Allahyarham dilaporkan tercedera akibat terkena tembakan semasa melakukan demonstrasi bersempena Pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia.

Allahyarham Mejar Mohd Zahir bin Armaya, 36 tahun merupakan pegawai dari pasukan 11 Rejimen Gerakhas, Kem Sungai Udang, Melaka. Allahyarham yang merupakan bapa kepada 5 anak berusia antara 9 tahun hingga 5 bulan berasal dari Kuala Lumpur.

Related Articles

Leave a Reply