Home Pertahanan dan Keselamatan Penyertaan ATM pada Hari Kebangsaan 2019 signifikan

Penyertaan ATM pada Hari Kebangsaan 2019 signifikan

by Bernama

PUTRAJAYA, 28 Ogos – Penyertaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam perarakan dan perbarisan Hari Kebangsaan di Putrajaya pada tahun ini menjadi lebih signifikan ketika cabang pertahanan negara itu disinggung.

Sebanyak 3,919 pegawai dan anggota ATM serta 126 aset pertahanan terlibat dalam acara kemuncak Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.

Panglima 12 Briged Infantri Brigadier Jeneral Marzuki Mokhtar berkata selain menyemarakkan sambutan kemerdekaan ke-62, keberadaan kontinjen ATM di acara itu akan membolehkan rakyat melihat dan menilai kesiapsiagaan pasukan itu dalam mempertahankan negara.

“Dengan penglibatan ATM bersama aset pertahanan yang serba canggih, ia akan menaikkan imej pasukan sekaligus memberi keyakinan kepada rakyat dan kerajaan kemampuan pasukan dalam pertahanan negara,” katanya kepada Bernama selepas sesi latihan bersepadu persiapan Hari Kebangsaan ke-62 di sini hari ini.

Antara aset ATM yang akan dipamerkan ialah empat Rapid Ranger iaitu sistem peluru berpandu jarak dekat (VSHORAD), yang merupakan antara aset terkini dimiliki ATM.

Turut mengambil bahagian ialah pesawat pejuang ATM iaitu Sukhoi SU-30MKM dan Hornet FA-18D.

“Datang tengok sendiri aset yang kita ada, rasai gegaran apabila Sukhoi membelah ruang udara, dan selepas itu kita yakin persepsi mereka yang meragui kemampuan ATM akan berubah,” kata Marzuki yang mewakili ATM selaku penyelaras jawatankuasa perbarisan dan perarakan.

Putrajaya adalah tuan rumah bagi acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan 2019. Tema Hari Kebangsaan tahun ini adalah Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih.

Anggota Tentera Udara Diraja Malaysia melintasi pentas Diraja pada sesi raptai acara perbarisan dan perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2019 bertemakan “Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih” di Dataran Putrajaya hari ini. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply