Home Pertahanan dan Keselamatan Malaysia, Rusia terus perkukuh kerjasama pertahanan

Malaysia, Rusia terus perkukuh kerjasama pertahanan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Malaysia dan Rusia bersetuju untuk memperkukuhkan kerjasama pertahanan dan perkongsian maklumat dalam membendung keganasan antarabangsa, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

Kementerian Pertahanan dalam kenyataan berkata, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Rusia, Nikolai Patrushev yang dalam lawatannya ke Malaysia bersetuju untuk meningkatkan kerjasama mengenai pelbagai aspek hubungan dua hala Malaysia dan Rusia termasuk ancaman keselamatan.

Mohamad yang mempengerusikan Mesyuarat Dua Hala Malaysia-Russia berkata persetujuan itu juga merangkumi aspek memerangi pengedaran dadah secara haram, siber dan perbincangan menangani ancaman jenayah terancam serta ekstremisme.

Mesyuarat yang diadakan di Kementerian Pertahanan semalam turut dihadiri oleh Kementerian Pertahanan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Hal Ehwal Luar, Kementerian Pengangkutan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM).

Mohamad juga menyatakan sokongan Malaysia terhadap kerjasama dengan Rusia pada masa akan datang dalam bidang keselamatan siber, dan mengulangi hasrat Malaysia untuk meningkatkan kerjasama industri pertahanan menerusi perkongsian pintar serta usaha sama strategik perniagaan antara Malaysia dan syarikat pertahanan Rusia.

Semalam, Nikolai Patrushev turut membuat kunjungan hormat kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail di Putra Perdana, Putrajaya.

Antara isu yang dibincangkan pada pertemuan setengah jam itu ialah kerjasama dalam meningkatkan keselamatan keluarga dan kanak-kanak melalui perkongsian maklumat dan keselamatan siber.

Kedua-dua pemimpin juga berminat untuk mewujudkan kerjasama budaya antara kedua-dua negara serta meningkatkan kerjasama dalam memperkasakan wanita memandangkan Dr Wan Azizah juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Related Articles

Leave a Reply