Home Semasa Bot yang dinaiki hampir karam sempat diselamatkan APMM

Bot yang dinaiki hampir karam sempat diselamatkan APMM

by Bernama

ALOR SETAR, 26 Ogos – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kuala Kedah menyelamatkan sembilan mangsa dalam dua kejadian berasingan di perairan Kuala Kedah apabila bot yang dinaiki mereka mengalami kerosakan dan hampir karam akibat cuaca buruk, Sabtu lepas.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata dalam kejadian pertama, pihaknya menerima aduan pada pukul 8.17 malam yang memaklumkan terdapat sebuah bot persendirian mengalami kerosakan di bahagian enjin.

Bot itu dinaiki enam lelaki berumur antara 37 hingga 41 tahun pada jarak kira-kira 4.0 batu nautika dari Kuala Kedah.

“Semasa dalam perjalanan mencari bot persendirian tersebut, anggota APMM yang menaiki bot peronda secara kebetulan menjumpai sebuah bot lain yang dinaiki tiga nelayan yang turut mengalami kerosakan pada jarak kira-kira 3.0 batu nautika dari muara Kuala Kedah.

“Bot nelayan dinaiki mangsa yang berumur antara 24 hingga 37 tahun itu dipercayai hampir karam akibat dipukul ombak telah ditemui pada pukul 9.20 malam. Anggota APMM telah bertindak memindahkan tiga nelayan berkenaan dan membawa mereka ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, bot peronda tersebut kembali semula ke laut bagi mencari bot persendirian berkenaan dan mengambil masa 20 minit untuk sampai ke lokasinya.

Jelasnya, bot berkenaan ditemui pada pukul 11 malam dan kesemua penumpang berada dalam keadaan keletihan akibat berada terlalu lama di laut, bagaimanapun mereka tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kita minta orang ramai yang ingin melakukan sebarang aktiviti di laut untuk sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan dan sekiranya mempunyai sebarang aduan dan kecemasan di laut boleh melaporkan melalui talian MERS 999 Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.- Bernama

 

 

Related Articles

Leave a Reply