Home Pertahanan dan Keselamatan Hina ATM adalah musuh negara – Mohamad Sabu

Hina ATM adalah musuh negara – Mohamad Sabu

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menyifatkan tindakan mana-mana individu yang menghina anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai perbuatan jijik dan tidak boleh diterima sama sekali.

Mohamad berkata, mana-mana pihak, tanpa mengira kaum dan agama yang mengkritik peranan ATM dalam menjaga keamanan negara dianggap sebagai musuh negara.

“Bagi kita, siapa sahaja yang hina ATM, mereka adalah musuh negara, tidak kira mana-mana kaum atau pihak. Bahkan, bagi kita perbuatan menghina ATM juga adalah jijik dan tidak boleh diterima,

“Apapun perpecahan yang wujud daripada natizen dan rakyat, tentera mesti mantap, jitu dan tidak berpecah. Kesatuan di kalangan angkatan tentera adalah amat penting. Kekuatan negara, kedaulatan negara bergantung penuh dengan ATM dari semua cabang,” katanya.

Menurut Mohamad, sejak akhir-akhir ini rakyat seakan lupa peranan dan tanggungjawab angkatan tentera, Kementerian Pertahanan dan unit-unit dibawah pentadbirannya.

“Boleh kritik, beri pandangan dan tunjuk ajar tapi jangan sesekali hina ATM,” kata Mohamad ketika berucap pada Perhimpunan Kementerian Pertahanan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2019, di Wisma Pertahanan, hari ini.

Mengulas mengenai permohonan maaf Koon Yew Yin yang menyatakan anggota tentera hanya makan dan tidur, Mohamad menjelaskan Kementerian Pertahanan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menyiasat kenyataan ahli perniagaan itu.

Artikel Berkaitan: Askar hanya makan tidur, tidak pernah menembak,baik kerja ladang FELDA – Ahli Perniagaan 

“Laporan polis sudah dibuat oleh pelbagai pihak, kita serah kepada polis untuk siasat. Kita tunggu apa tindakan mereka,“ tegas Mohamad kepada pemberita.

Artikel Berkaitan : Koon Yew Yin hina Angkatan Tentera Malaysia, menderhaka kepada Agong

“Kementerian Pertahanan dan ATM akan terus melaksanakan diplomasi pertahanan bersama-sama negara jiran-jiran yang berkepentingan bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara,

“Tentera juga menjadi tulang belakang kepada operasi menyelamat apabila negara ataupun negara jiran menghadapi krisis atau bencana,” katanya.

Turut hadiri, Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong; Ketua Setiausaha, Datuk Sri Zuki Ali; Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato’ Affendi Buang TUDM mewakili Panglima Angkatan Tentera dan Panglima-panglima Perkhidmatan.

 

Related Articles

Leave a Reply