Home Semasa Lim Kit Siang gesa kerajaan nilai semula taraf penduduk tetap Zakir Naik

Lim Kit Siang gesa kerajaan nilai semula taraf penduduk tetap Zakir Naik

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Veteran DAP, Lim Kit Siang menggesa kerajaan Malaysia untuk menyemak semula taraf  Dr Zakir Naik kerana ceramahnya menjadi punca perpecahan antara kaum dan agama di negara ini.

Gesaan Kit Siang disuarakan dalam satu kenyataan yang dimuatnaik di laman blog kendalian beliau, hari ini.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri meluahkan rasa kesalnya akan kenyataan Dr Zakir Naik di sebuah ceramah di Kelantan baru-baru ini. Beliau mendakwa, Zakir Naik menyifatkan masyarakat India di negara ini tidak menghargai nikmat dan hak yang telah diberikan oleh kerajaan Malaysia.

Pada masa yang sama, Zakir turut mendakwa masyarakat India di Malaysia lebih cenderung untuk setia kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi berbanding Perdana Menteri Malaysia.

“Zakir telah membuat tuduhan yang tidak berasas yang secara tidak langsung memperkecilkan pengorbanan dan sumbangan masyarakat India kepada pembangunan negara,

“Kenyataan sebegini adalah berbahaya dan merupakan cubaan untuk menimbulkan perpecahan serta antara kaum dan penganut pelbagai agama di Malaysia,

“Pihak kerajaan Malaysia sepatutnya ambil tindakan terhadap Zakir kerana mengeluarkan kenyataan yang tidak bertanggungjawab,” kata Kit Siang dalam kenyataan beliau.

Dr Zakir Naik dilaporkan memuji kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pemimpin luar biasa kerana sumbangan beliau kepada komuniti Islam di peringkat global.

Dr Zakir merupakan antara individu yang dikehendaki oleh kerajaan India atas tuduhan pengubahan wang haram dan mencetuskan ekstremisme.

Penceramah tersebut turut mendapat kerakyatan Arab Saudi selepas India menarik balik pasport beliau. Pada tahun 2015, Dr Zakir telah dianugerahkan status taraf penduduk tetap oleh kerajaan Malaysia.

Sebelum ini, India telah melakukan permohonan extradisi Dr Zakir namun permohonan tersebut telah ditolak oleh Putrajaya kerana khuatir penceramah tersebut tidak akan mendapat pengadilan sewajarnya.

 

Related Articles

Leave a Reply