Home Semasa Lawatan rasmi Jokowi perkukuh hubungan dua hala Malaysia-Indonesia

Lawatan rasmi Jokowi perkukuh hubungan dua hala Malaysia-Indonesia

by Bernama

KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Presiden Indonesia Joko Widodo akan mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia bermula hari ini yang dijangka mengukuhkan lagi hubungan dua hala yang sedia akrab antara Malaysia dan Indonesia.

Menurut kenyataan Wisma Putra, ini merupakan lawatan pertama Joko Widodo atau terkenal sebagai Jokowi, ke luar negara selepas dipilih semula bagi penggal kedua dalam Pilihan Raya Presiden pada 17 April lepas.

Jokowi yang diiringi isterinya Iriana Joko Widodo akan diberi sambutan rasmi pada 9 Ogos ini di Dataran Perdana, Putrajaya.

“Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Joko Widodo akan mengadakan pertemuan untuk berbincang mengenai isu dan kerjasama dua hala serta bertukar-tukar pandangan mengenai perkara-perkara yang mempunyai kepentingan bersama,” menurut kenyataan itu.

Perdana Menteri dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali juga akan menghoskan majlis makan tengah hari rasmi bagi meraikan Jokowi dan isterinya di Seri Perdana.

Indonesia merupakan negara jiran paling dekat dan terpenting untuk Malaysia dan merupakan rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia di peringkat global dan yang ketiga terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN selepas Singapura dan Thailand.

Pada 2018, jumlah perdagangan dua hala yang direkodkan adalah sebanyak RM72.02 bilion (USD17.85 billion), meningkat 7.4 peratus berbanding RM71.51 bilion (USD16.62 billion) pada 2017. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply