LABUAN, 6 Ogos – Sebuah kapal kargo dan kapal sokongan luar pesisir dengan 38,000 liter diesel, bernilai kira-kira RM15.2 juta dirampas oleh polis marin Labuan semalam kerana menjalankan aktiviti memindahkan bahan api tanpa kebenaran.
Kedua-dua kapal berkenaan disyaki melakukan pemindahan minyak dari kapal ke kapal di perairan Pulau Papan, lima minit perjalanan dengan bot dari jeti bandar Labuan, kata Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah ACP Mohamad Pajeri Ali.
Kedua-dua kapten kapal berkenaan warga Malaysia berumur 47 dan 36, juga ditahan dalam ‘Op Gelora’ pada 9.47 malam, katanya kepada Bernama hari ini.
“Rampasan ini adalah yang terbesar dalam operasi kami setakat ini,” katanya.
“Pasukan kami sedang meronda perairan Labuan apabila mereka melihat kedua-dua kapal itu, yang berlabuh bersebelahan, menjalankan aktiviti yang mencurigakan.
“Selepas pemeriksaan, pasukan kami mendapati kira-kira 38,000 liter diesel bernilai RM134,000 dari kapal Off Shore Gemia sedang dipindahkan ke kapal kargo Success 33 tanpa permit dan kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, yang merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.
“Off Shore Gemia bernilai RM15 juta, Success 33 bernilai RM120,000 manakala diesel bernilai RM134,000 dirampas,” katanya.-Bernama