Home Pertahanan dan Keselamatan Hayati prinsip ‘Kesetiaan Kepada Raja dan Negara’ demi keharmonian masyarakat – TMJ

Hayati prinsip ‘Kesetiaan Kepada Raja dan Negara’ demi keharmonian masyarakat – TMJ

by Bernama

JOHOR BAHRU, 4 Ogos – Penghayatan terhadap prinsip Rukun Negara kedua iaitu ‘Kesetiaan Kepada Raja dan Negara’ merupakan elemen penting dalam mengekalkan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah ini kerana ia dapat memastikan kesinambungan budaya dan adat resam serta agama agar berterusan dari zaman berzaman.

“Rukun Negara kedua jelas memperkatakan tentang setia kepada raja dan negara walaupun nilai itu seolah-olah luntur kini,” titah baginda.

Tunku Ismail bertitah demikian pada Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Awam ke-38, di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini pada Sabtu.

Baginda turut berkenan menerima Tabik Hormat Diraja dan memeriksa perbarisan yang diketuai Pegawai Kadet Terbaik Darat Pegawai Rendah Muda Kamarul Hafizi Kamaruzaman.

Tunku Ismail kemudian turut mengurniakan watikah tauliah yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar, UTM kepada pegawai-pegawai kadet Palapes darat, laut dan udara.

Seramai 1,560 pegawai kadet Palapes ditauliahkan terdiri daripada 881 pegawai kadet Tentera Darat Malaysia (TDM), 330 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan 349 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Turut hadir pada istiadat berkenaan, Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong, Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Affendi Buang, Timbalan Panglima Tentera Darat Lt Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah dan Timbalan Panglima Tentera Laut Laksamana Madya Datuk Khairul Anuar Yahya.- Bernama

Related Articles

Leave a Reply