Home Diskusi Angkatan Masa Depan

Angkatan Masa Depan

by Liew Chin Tong

Sambil geopolitik berubah pantas, Malaysia berdepan cabaran-cabaran keselamatan dan pertahanan yang baharu, misalnya seperti peningkatan kepentingan hal ehwal maritim, persaingan kuasa antara China dan Amerika Syarikat serta kemunculan ancaman-ancaman bukan tradisional. Kita akan harus melahirkan angkatan masa depan untuk mendepani cabaran-cabaran itu.

Perubahan kerajaan pada bulan Mei 2018 memberikan suatu peluang keemasan untuk Malaysia bagi menyemak semula andaian-andaian lama dan membuat ijtihad-ijtihad baharu demi bergerak maju ke hadapan. Salah satu keputusan besar terawal yang membawa kesan jangka panjang oleh Menteri Pertahanan  Mohamad Sabu ialah mengajukan kepada kerajaan baharu untuk mengemukakan Kertas Putih Pertahanan sebagai pandu arah masa hadapan.

Salah satu perkara yang saya pelajari di Kementerian Pertahanan ialah, kita harus berfikir jauh ke hadapan kerana keputusan yang dibuat hari ini akan membawa kesan berpuluh tahun akan datang, melampaui kitaran belanjawan tahunan mahupun jangkamasa lima tahun Rancangan Malaysia. Contohnya, beberapa sistem persenjataan yang tidak begitu baik atau kapal-kapal yang dibeli mengikut kehendak mana-mana jeneral atau menteri, kadang kala setelah dicucuk oleh saudagar pertahanan yang hanya mahu kaya, masih digunakan puluhan tahun ke hadapan walaupun ia tidak sesuai.

Begitu juga bagaimana Angkatan Tentera distruktur banyak berkait dengan legasi lampau. Memahami sejarah akan membantu kita melihat segalanya dengan sudut pandang yang lebih baik.

Mempertahankan Malaysia adalah soal tiga kawasan laut yang penting – Selat Melaka, Laut China Selatan dan Laut Sulu – serta dua kawasan darat – Semenanjung serta Sabah dan Sarawak di Borneo. Tetapi hakikatnya, ekoran counter-insurgency pada zaman Perang Dingin, sebelum ini banyak tumpuan diberikan kepada Semenanjung, dengan fokus ke atas pertempuran hutan.

Mengkaji semula zaman penjajah dan sejarah Perang Dingin akan membantu pemahaman kita.

Dari segi sejarah, orang Melayu adalah ‘orang laut’ dari sekitar Nusantara, di mana warga dan barang niaga bergerak bebas di rantau ini. Pada zaman Kesultanan Melaka, kedudukan ketenteraan yang paling tinggi adalah Laksamana. Sebahagian besar ibu kota di Malaysia terletak di kuala sungai atau menghadap laut.

Suatu ciapan oleh personaliti Twitter, Zayn bin Gregory berbunyi, “America has the Homeland, Germans the Fatherland, Russia the Motherland. Only the Malays have ‘Waterland’. #tanahair.” Frasa ‘tanah air’ jelas menunjukkan konseptualisasi negara maritim kita secara turun-temurun, dan idea bahawa tanah dan air berpisah tiada.

Sempadan kontemporari pasca-kermedekaan antara Malaysia dengan Indonesia sebenarnya diputuskan oleh pihak British dan Belanda pada tahun 1824. Di dalam lingkungan sempadan samudera yang ditentukan dan dikawal penjajah, serta selepas Perjanjian Pangkot 1874, negeri-negeri Melayu yang terpecah-pecah akhirnya beralih ke arah perusahaan pertanian dan perladangan bagi memenuhi keperluan bandar-bandar kolonial.

Perang menentang Parti Komunis Malaya kebanyakannya adalah pertempuran hutan secara gerila yang menjadi acuan struktur Angkatan Tentera Malaysia dari pelbagai segi, seperti dominasi tentera darat serta kecemerlangan dalam pertempuran hutan tropika.

Hari ini kita berdepan dengan demografi yang jauh berbeza serta senario geopolitik yang tidak dapat dijangka. Mengandaikan bahawa sepanjang dekad akan datang, saiz Angkatan Tentera akan terus kekal pada bilangan sekitar 123,000; pertimbangan-pertimbangan berikut haruslah dibuat dalam membentuk angkatan masa depan:

Malaysia merupakan sebuah negara maritim yang mempunyai kawasan perairan yang luas.

Pertama sekali, kita harus menyedari bahawa Malaysia ialah sebuah negara maritim, dan lautan adalah talian hayat kita, dengan demikian banyak sumber yang datang dari laut, serta ruang samudera strategik untuk dipertahan dalam persekitaran keselamatan yang semakin rumit. Kita memerlukan hala tuju yang jelas berkenaan pentadbiran kawasan perairan negara, dan melindunginya daripada sebarang kebarangkalian insiden dan konflik dalam konteks persaingan strategik antara China dan Amerika Syarikat, serta ancaman-ancaman lain seperti rompakan laut, pengganas dan sebagainya. Pendek kata, kita memerlukan Kesedaran Medan Laut secara lebih meluas.

Baru-baru ini saya menganjurkan sebuah dialog bersama Duta Besar Vietnam ke Malaysia yang juga seorang pakar maritim, TYT Lê Quý Quỳnh. Saya berasa kagum dengan aspirasi jelas Vietnam untuk menjadi sebuah negara maritim yang berkuasa, dengan objektif mempertingkat sumbangan maritim kepada ekonominya (petroleum dan gas, pelancongan, perikanan etc.) daripada 30% ke 50%. Malaysia akan memerlukan objektif polisi yang jelas seperti Vietnam agar semua pihak dapat bersetuju bahawa maritim adalah masa depan, untuk ekonomi dan juga pertahanan. (Menurut Institut Maritim Malaysia, sumbangan sektor maritim  atau ‘Blue Economy’ dianggar sekitar 23% pada tahun 2015, namun angka itu sepatutnya lebih besar sekiranya potensi perairan negara dapat direalisasikan sepenuhnya). Dengan objektif polisi yang jelas, Angkata Tentera dan semua agensi keselamatan, seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, akan perlu membuat perubahan bagi mencapai objektif tersebut.

Pun begitu, menjadi sebuah negara maritim tidak bermakna kita memerlukan kapal-kapal yang lebih besar atau bilangan tentera laut yang lebih ramai. Tempoh hari saya berbual dengan Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Haji Zulkifli Haji Zainal Abidin, yang menyebut bahawa dalam sebuah negara maritim, ‘tentera daratnya mesti boleh berenang’. Maksudnya kita mungkin perlu mempertimbangkan penubuhan sebuah pasukan amfibi atau marin, dalam Angkatan Tentera.

Bagaimana pun, apa yang benar-benar diperlukan ialah ketangkasan dan kebersamaan antara ketiga-tiga pasukan – Tentera Darat, Laut dan Udara – untuk melaksanakan operasi pelbagai medan. Namun sejujurnya, idea kebersamaan ini sebenarnya lebih mudah cakap daripada buat. Kebiasannya, setiap pasukan merekrut, melatih dan mengurus anggota mereka sendiri.

Tetapi operasi pasukan tunggal jelas sekali tidak memenuhi keperluan zaman. Saya menaiki kapal pengangkut helikopter Australia, HMAS Canberra pada April lalu, ketika ia berlabuh di Pelabuhan Klang. Ekspedisi angkatan laut ‘Indo-Pacific Endeavour 2019’ itu diperintah oleh seorang komander angkatan udara. HMAS Canberra adalah kapal tri-khidmat yang melibatkan anggota tentera laut, darat dan udara secara tetap. Apa yang menarik, seorang awam yang bekerja sebagai penasihat dasar dari Jabatan Pertahanan Australia serta seorang lagi pegawai dari Jabatan Luar Negeri turut sama berlayar dalam ekspedisi tiga bulan itu. Kebanyakan anggota perubatan tentera di atas kapal terbabit adalah anggota tentera simpanan. Bukan sahaja kebersamaan angkatan, sifat keseluruhan-kerajaan juga jelas kelihatan.

Kita bukan sahaja memerlukan lebih banyak kebersamaan dalam operasi, kita juga perlu merealisasikan sepenuhnya operasi dua-medan antara Semenanjung dan Sabah/Sarawak demi mempertahankan tiga perairan negara secara berkesan – Selat Melaka, Laut China Selatan dan Laut Sulu.

Peperangan urban adalah antara cabaran yang perlu dihadapi oleh Angkatan Tentera Malaysia khususnya Tentera Darat.

Kedua, kita kini merupakan sebuah negara yang sangat urban, dengan 76% daripada populasi menetap di kawasan-kawasan bandar. Pertempuran yang sebelum selalunya terjadi di kawasan hutan kini boleh sahaja berlaku di kawasan urban juga. Serangan di Marawi adalah satu contoh. Soal ketahanan terhadap sebarang serangan mesti diambilkira dalam perancangan bandar, sementara perancangan pertahanan mesti bersedia untuk kemungkinan pertempuran urban dan mengambilkira ancaman-ancaman bukan tradisional seperti aktiviti keganasan.

Selanjutnya, kita juga tidak boleh mengelak daripada medan siber, di mana tanggapan ‘sempadan’ lebih sukar untuk ditentukan dan garisan antara ‘serangan siber’ dan ‘perang siber’ dikaburkan. Jika kita tidak dapat mengejar perkembangan ini, sudah tentu kita akan jauh ketinggalan.

 

Bukanlah Angkatan Tentera tidak menyedari cabaran-cabaran medan maritim, kebersamaan, cerminan antara dua medan, urban dan cabaran bukan tradisional, keganasan dan pertahanan siber. Angkatan Tentera Malaysia telah mencuba pelbagai insiatif bagi menangani cabaran-cabaran tersebut.

Namun apa yang diperlukan sekarang ialah kesedaran nasional tentang cabaran-cabaran ini serta konsensus politik untuk mendepaninya dengan tegas. Sekiranya kita mengekalkan kekuatan angkatan yang sama seramai 123,000; peranan sebilangan ramai daripada mereka harus diberi tujuan baharu dan dinaiktaraf ke peringkat yang lebih diperlukan.

Kebanyakan peranan semasa Angkatan Tentera boleh dikendalikan dengan menggunakan teknologi seperti kecerdasan buatan (artificial intelligence), dron dan pelbagai alat pengawasan. Beberapa peranan ‘non-combatant’ boleh dikendalikan pegawai bukan-tentera. Ini termasuklah menyemak semula peranan tentera simpanan supaya kita dapat menggali potensi kepakaran dan pengalaman orang awam; terutamanya kumpulan profesional seperti doktor, jurutera, saintis komputer dan pakar keselamatan siber.

Kertas putih pertahanan akan menjadi pemacu atau pandu arah untuk masa hadapan Angkatan Tentera Malaysia

Kesemua itu adalah antara banyak perkara yang cuba ditangani melalui Kertas Putih Pertahanan, dengan harapan untuk memberi pandu arah masa depan. Kertas Putih Pertahanan tidak mampu untuk memberi jawapan yang tepat bagi setiap persoalan jangka panjang. Namun tujuan Kertas Putih Pertahanan ialah untuk menanyakan semua soalan yang relevan untuk jangkamasa satu dekad akan datang, supaya halatuju bagi semua butiran dapat disediakan dengan konsensus nasional yang lebih meluas, demi sebuah Angkatan Masa Depan bagi memenuhi keperluan baharu negara, dan mendepani cabaran-cabaran baharu.

Penulis merupakan Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia. Artikel ini turut disiarkan di laman kendalian beliau.

 

Related Articles

Leave a Reply