Home SemasaGlobal 10,000 anggota keselamatan dikerah jejaki suspek serangan di Pattani

10,000 anggota keselamatan dikerah jejaki suspek serangan di Pattani

by Bernama

PATTANI, 26 Jul – Pihak berkuasa Thailand mengerahkan hampir 10,000 anggota keselamatan untuk menjejaki 20 suspek yang dikenal pasti terlibat dalam serangan di sebuah pondok kawalan keselamatan di Daerah Muang, Pattani, Selasa lepas.

Panglima Bahagian Tentera Darat Ke-4, Lt. Jen Pornsak Poonsawat berkata anggota berkenaan yang melibatkan 735 pasukan, akan dikerah ke 118 kampung yang dikenal pasti masih mempunyai pengaruh kuat gerakan pembebasan Pattani.

“Kita mahu suspek berundur dari kampung-kampung tersebut.

“Risikan kami mendapati terdapat rumah-rumah yang diubah suai untuk menjadi tempat bersembunyi anggota kumpulan bersenjata selepas melakukan serangan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Selasa lepas, empat maut dan dua lagi cedera parah dalam satu serangan di sebuah pondok kawalan keselamatan di Daerah Muang, Pattani.

Dalam kejadian kira-kira 8 malam (waktu tempatan), sekumpulan individu, sekurang-kurang 10 orang yang lengkap dengan senjata api melepaskan tembakan dan melontar bom paip ke arah pondok dan menyebabkan dua anggota sukarelawan dan dua lagi anggota keselamatan kampung meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi anggota sukarelawan cedera parah.

Pornsak tidak menolak kemungkinan terdapat suspek yang terlibat dalam serangan itu turut mengalami kecederaan – Bernama

Related Articles

Leave a Reply