Home Pertahanan dan Keselamatan ‘Laksamana’ bantu cari dua anggota tentera hilang di Pulau Perak

‘Laksamana’ bantu cari dua anggota tentera hilang di Pulau Perak

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 23 Jul – Tentera Laut Diraja Malaysia telah menghantar sebuah kapal untuk melaksanakan operasi mencari dan mengesan dua anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang dilaporkan hilang di Pulau Perak.

Pihak TLDM ketika dihubungi menjelaskan sebuah kapal, KD Laksamana Muhammad Amin, telah dihantar bagi membantu operasi tersebut.

“Kapal KD Laksamana Muhammad Amin telah dihantar ke kawasan kejadian dan melakukan operasi pencarian di perairan sekitar Pulau Perak,” jelasnya.

Gambar arkib KD Laksamana Muhammad Amin semasa Pameran LIMA’19 di Langkawi pada Mac lalu. Foto: Air Times

Difahamkan pencarian sebelum ini turut melibatkan sebuah lagi kapal kelas Laksamana, KD Laksamana Tun Abdul Jamil, sebelum digantikan oleh KD Laksamana Muhammad Amin.

Sementara itu, sumber dari TDM menyatakan operasi pencarian tetap diteruskan walaupun masih belum ada tanda-tanda penemuan.

Sumber yang enggan didedahkan berkata, operasi pencarian di kawasan daratan pulau dilaksanakan oleh anggota TDM yang ditempatkan di Pulau Perak semenjak Jumaat lalu.

Terdahulu, dua anggota TDM dari Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja telah dilaporkan hilang semenjak petang Jumaat lalu di Pulau Perak. Kehilangan dua anggota terbabit disedari ketika Ketua Penempatan membuat perbarisan pemeriksaan malam.

Kedua-dua anggota, Koperal David Edmund Rapi dan Lans Koperal Moses Logers yang berasal dari Sarawak kali terakhir dilihat berada di blok penginapan pada petang Jumaat lalu.

Pulau Perak merupakan sebuah pulau kecil yang mempunyai diameter 200 meter dan terbentuk daripada batuan. Pulau yang mempunyai tebing curam yang berketinggian lebih 100 meter ini merupakan daratan terhujung barat Semenanjung Malaysia di perairan Selat Melaka.

Pulau Perak merupakan lambang kedaulatan perairan Malaysia di Selat Melaka.

Pulau ini terletak kira-kira 60 batu nautika barat daya Langkawi dan 70 batu nautika barat laut Pulau Pinang.

Insiden ini merupakan insiden kedua yang melibatkan kehilangan anggota TDM di pulau berkenaan. Kali terakhir insiden berlaku adalah pada tahun 2016.

 

Related Articles

Leave a Reply