Home Semasa Pencemaran minyak diesel punca gangguan air berskala besar di Lembah Klang

Pencemaran minyak diesel punca gangguan air berskala besar di Lembah Klang

by Bernama

KUALA LUMPUR,  22 Jul – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd memaklumkan bahawa pencemaran minyak diesel dikesan di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 (LRA SSP1, LRA SSP2 dan LRA SSP3) dan LRA Rantau Panjang dari sumber air mentah Sungai Selangor.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi syarikat itu, Abdul Raof Ahmad berkata susulan itu, LRA Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas pada pukul 6.00 petang, disusuli LRA SP3 pada pukul 8.00 malam serta LRA SSP1 dan LRA SSP2 pada pukul 8.15 semalam.

Pencemaran minyak diesel yang dikesan di kawasan sumber air. Foto: Syarikat Bekalan Air Selangor

Dalam satu kenyataan, beliau berkata punca pencemaran ialah aktiviti pengorekan pasir di hulu sungai dan insiden itu telah dilaporkan kepada pihak berkuasa.

“Ini insiden kedua dalam tempoh tiga hari melibatkan penutupan keempat-empat loji rawatan air utama dan menyebabkan gangguan tidak berjadual berskala besar kepada pelanggan,” kata Abdul Raof, merujuk kepada tindakan serupa yang diambil pada Jumaat lalu susulan pencemaran bau.

Beliau berkata pihak Air Selangor tidak dapat memastikan jangka masa pemulihan sekiranya insiden pencemaran sumber air mentah kembali berulang.

“Kami berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang insiden seperti yang berlaku hari ini,” katanya.

Pada Jumaat lalu, 1,133 kawasan melibatkan 1,166,842 akaun pelanggan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor terjejas dengan gangguan air tidak berjadual susulan insiden pencemaran bau di sumber air mentah Sungai Selangor.

Sebelum ini, Air Selangor memberitahu ia menyasarkan pemulihan bekalan 100 peratus di semua kawasan terjejas menjelang tengah malam hari Isnin (22 Julai) sebelum ia mengeluarkan kenyataan berasingan berhubung henti tugas keempat-empat LRA berkenaan kemudian. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply