Home Pertahanan dan Keselamatan Peruntukan RM400 juta untuk senggaraan dan naik taraf rumah keluarga ATM

Peruntukan RM400 juta untuk senggaraan dan naik taraf rumah keluarga ATM

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 19 Jul – Kementerian Pertahanan memerlukan peruntukan sebanyak RM400 juta bagi menyenggara dan menaik taraf Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) yang belum diduduki.

Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan berkata, pihaknya dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam usaha untuk mendapatkan peruntukan bagi menyelenggara dan membaik pulih rumah-rumah berkenaan secara berperingkat agar ianya dapat digunakan dan diduduki semula.

“Sebelum ini Kementerian Pertahanan telah memohon peruntukan perbelanjaan senggaraan RKAT sebanyak RM1,043.49 juta bagi tempoh 2015 hingga 2018.

“Bagaimanapun hanya sejumlah RM258.45 juta yang diluluskan. Oleh yang demikian, jumlah RKAT yang boleh diselenggara bagi tempoh berkenaan adalah terhad,” katanya.

Menurut kenyataan itu, sehingga Disember 2018 terdapat 54,497 unit RKAT yang telah disediakan oleh ATM. Daripada jumlah itu, sebanyak 40,024 unit adalah diduduki manakala bakinya sebanyak 12,261 unit tidak diduduki.

“Sebanyak 783 unit dikategorikan sebagai tidak selamat, 535 unit adalah dalam proses dokumentasi untuk dirobohkan, manakala baki 248 unit akan dibaiki secara berperingkat.

“Untuk 1,734 unit yang disyor roboh, sebanyak 227 unit telah dirobohkan dan 1,507 unit pula dalam proses kelulusan syor roboh,

“Bagi kategori unit kosong dan rosak pula yang mana melibatkan 9,744 unit, sejumlah 1,474 unit dalam tindakan penyelenggaraan dan naik taraf dalam tahun ini menggunakan Peruntukan Khas 2019 sebanyak RM50 juta,

“Sementara baki 8,270 unit pula akan diselenggara dan dinaik taraf secara berperingkat mulai tahun 2020,” ujarnya.

Pihak kementerian dan ATM sentiasa komited untuk memastikan RKAT sentiasa berada dalam keadaan selamat untuk diduduki bagi memastikan kebajikan dan keselesaan anggota sentiasa terpelihara.

Pada 15 Jul lepas, Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1 yang dibentangkan di Parlimen, menyatakan penyelenggaraan RKAT tidak cekap dan tidak mencapai objektif menyediakan rumah yang kondusif dan selamat untuk anggota tentera.

Laporan itu menyatakan sehingga Disember tahun lalu, jumlah RKAT ialah 54,497 unit namun 22.5 peratus daripadanya tidak boleh diduduki kerana rosak, tidak diselenggara, tidak beralamat dan tidak kondusif.

Related Articles

Leave a Reply