Home Pertahanan dan Keselamatan Keselamatan negara diperkukuh melalui kerjasama ATM, PDRM

Keselamatan negara diperkukuh melalui kerjasama ATM, PDRM

by Bernama

KUALA LUMPUR, 19 Jul – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepakat memainkan peranan masing-masing dan mengukuhkan kerjasama dalam mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara, kata Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi.

Beliau berkata demikian apabila ditanya akan pertemuan bersama Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador yang melakukan lawatan kerja ke Markas ATM di Wisma Pertahanan, semalam.

Ahmad Hasbullah berkata perjumpaan antara dua pasukan barisan hadapan negara itu adalah rutin biasa dalam menunjukkan sokongan kepada barisan kepimpinan polis yang baharu.

“Pertemuan ini lebih untuk mengeratkan hubungan dan meluaskan rangkaian sekali gus menunjukkan kepada rakyat bahawa ini bukan gimik…kami kerja kerana rakyat telah beri kepercayaan dan anggota melaksanakan tugas dengan sempurna.

“Saya percaya pertemuan ini mengukuhkan lagi hubungan dan sekali gus memantapkan keselamatan negara,” katanya selepas acara Perbarisan Penghargaan Panglima Medan Barat Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Azizan Md Delin yang bersara wajib di Kem Perdana Sungai Besi, di sini, hari ini.

Beliau berkata beberapa isu semasa termasuk operasi, kawalan sempadan dan jenayah serta kedaulatan negara turut dibincangkan pada pertemuan itu.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ahmad Hasbullah berkata pihaknya sudah mengenal pasti pengganti bagi jawatan Azizan yang bersara wajib berkuat kuasa 23 Feb 2020.

Azizan, 59, menyertai pasukan pada 1979 dan telah menyandang pelbagai jawatan penting, antaranya Pegawai Memerintah Batalion Kelapan Rejimen Askar Melayu Diraja, Komandan Maktab Tentera Diraja dan menerajui Bridged Kelapan Infantri Malaysia yang berpangkalan di Kota Bahru, Kelantan dan Divisyen Kedua Infantri Malaysia yang berpangkalan di Pulau Pinang – Bernama

Related Articles

Leave a Reply