Home PolitikPakatan Harapan Azmin perlu ambil cuti segera jika video sahih: Anwar

Azmin perlu ambil cuti segera jika video sahih: Anwar

by Bernama

KUALA LUMPUR, 18 Jul – Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Timbalannya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali perlu bercuti segera jika terbukti terlibat dalam video intim yang tular baru-baru ini.

“Saya berpandangan bahawa sekiranya didapati video itu sahih, maka sepatutnya dia (Mohamed Azmin) cuti, tetapi itu yang kita dengar, tiada pengesahan, kalau video itu tidak sahih, dia tidak perlu bercuti,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang berkata terpulang kepada mana-mana pemimpin untuk bercuti atau meneruskan tugas selagi belum dibuktikan bersalah memberi gambaran bahawa terdapat perkembangan baharu dalam proses siasatan pihak polis.

Anwar berkata demikian bagi menjawab soalan wartawan sama ada Mohamed Azmin perlu bercuti atau meletakkan jawatannya.

Ketua Penerangan PKR Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dalam kenyataan media sebelum ini meminta agar mana-mana pemimpin yang didakwa terbabit dengan salah laku agar bercuti secara sukarela bagi memberi laluan kepada siasatan pihak berkuasa.

Dalam perkembangan lain mengenai penahanan seorang pemimpin PKR Perak, beliau berkata ia diserahkan sepenuhnya kepada siasatan pihak polis.

“Saya tidak dimaklumkan (mengenai penahanan). Kalau itu dalam proses siasatan, kami serah kepada polis. Pendirian parti ialah serahkan kepada pihak polis dan kami mahu supaya keadilan diberikan kepada pelaku dan perencananya,” katanya – Bernama

 

 

Related Articles

Leave a Reply