Home Semasa APMM tahan tujuh pati termasuk dua tekong

APMM tahan tujuh pati termasuk dua tekong

by Bernama

MELAKA, 17 Julai -Tujuh orang pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk dua tekong bot warga Indonesia ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan selepas cuba menyeludup masuk ke perairan Malaysia melalui laluan yang tidak diwartakan semalam.

Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kapten Maritim Amran Daud, berkata tangkapan itu dilakukan semasa operasi harian pihaknya dan hasil maklumat risikan memaklumkan terdapat pergerakan masuk bot yang mencurigakan dari Indonesia menuju ke Perairan Kuala Sungai Baru, Melaka.

“Lebih kurang pada jam 10.30 malam semalam, bot peronda Maritim Malaysia mengesan dan menahan sebuah bot kayu berwarna coklat tanpa nombor pendaftaran menggunakan dua enjin sangkut jenis Suzuki 15 kuasa kuda di kedudukan lebih kurang 0.9 batu nautika barat muara Kuala Sungai Baru.

Pemeriksaan lanjut mendapati seramai tujuh lelaki termasuk dua tekong berada dalam bot kesemuanya warga Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Amran berkata kesemua yang ditangkap berusia antara 19 hingga 47 tahun akan disiasat mengikut Akta Imigresen dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM). Kesemua mereka termasuk bot telah dibawa ke jeti Maritim di sini dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan selanjutnya.

“Berdasarkan siasatan awal, saya percaya bot yang ditahan itu menjalankan aktiviti penyeludupan keluar masuk PATI melalui jalan yang tidak sah yang dipercayai menuju ke Pulau Rupat, Indonesia serta mereka didalangi sindiket warga tempatan dan juga asing yang sudah lama menetap di negara ini,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan statistik pada tahun ini sebanyak tujuh kes melibatkan PATI di bawah Akta Imigresen, Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) telah berjaya direkodkan Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan.

Katanya pihaknya sentiasa memandang serius dalam usaha membenteras dan menyekat aktiviti jenayah rentas sempadan di perairan Melaka dan Negeri Sembilan, dan meminta orang ramai menyalurkan maklumat kegiatan jenayah dan kecemasan di laut di talian Pusat Operasi Maritim 06-3876730 dan MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam.- Bernama

 

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply