Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Anggota tentera harus tingkatkan displin – Panglima 1 Divisyen

Anggota tentera harus tingkatkan displin – Panglima 1 Divisyen

by Bernama

KUCHING, 12 Julai – Anggota Tentera Darat 1 Divisyen di Sarawak diingatkan untuk menjaga disiplin mereka dan tidak terbabit penyalahgunaan dadah, judi dalam talian dan penderaan anggota bawahan.

Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Md Din Abu memberi peringatan itu berikutan masih terdapat masalah disiplin dalam kalangan anggota terbabit terutama peningkatan dalam penyalahgunaan dadah dan penglibatan dalam judi atas talian.

“Yang terkini menggunakan media sosial dengan melakukan perbuatan keji dan memalukan siap berpakaian tentera,” katanya ketika berucap di Perbarisan Sempena Hari Ulangtahun 1 Divisyen Ke 53 di Kem Penrissen di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedah statistik mengenai gegala itu dalam kalangan anggotanya.

Perbarisan terbabit melibatkan 27 pegawai dan 605 anggota lain pangkat dan dihadiri Panglima 3 Briged, Brigedier Jeneral Mohd Isa Jaafar, Panglima 9 Briged, Brigedier Jeneral Shamsirudin Mohd Sharif, Panglima 31 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Johnny Lim Eng Seng.

Md Din berkata, beliau tidak akan bertolak ansur dengan kejadian disiplin terbabit dan tindakan tegas akan diambil terhadap anggota yang terlibat dan diberhentikan dari perkhidmatan.

“Saya berharap kita sama-sama menjaga nama baik organisasi (1 Divisyen) yang mulia ini,” katanya.

Antara kejayaan dicapai 1 Divisyen tahun lepas ialah membuat 122 tangkapan jenayah sempadan dengan barangan disita bernilai RM1.5 juta, menjuarai pertandingan triathlon tentera darat, mendapat tempat pertama Anugerah Pengurusan Inovasi Tentera Darat bagi kategori pengurusan logistik divisyen dan penarafan lima bintang bagi pengurusan kewangan. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply