Home Semasa Pengubahan Wang Haram: Riza Aziz dijangka hadapi lima tuduhan berjumlah RM1.25 bilion

Pengubahan Wang Haram: Riza Aziz dijangka hadapi lima tuduhan berjumlah RM1.25 bilion

by Bernama

KUALA LUMPUR, 5 Julai – Riza Shahriz Abdul Aziz, 42, anak tiri kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka menghadapi lima pertuduhan di bawah Akta Pengubahan Wang Haram berjumlah AS$248 juta (RM1.25 bilion).

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Riza yang merupakan pemilik syarikat Red Granite Pictures didakwa melakukan kesalahan itu berhubung wang yang diterimanya antara 2011 dan 2012 daripada Good Star Ltd yang dikaitkan dengan ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho dan dana 1MDB.

Penerbit filem ‘Wolf of The Wall Street’ itu akan dituduh mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Selepas ibunya Datin Seri Rosmah Mansor dan Najib, Riza merupakan anggota keluarga ketiga bekas perdana menteri itu dihadapkan ke mahkamah oleh SPRM.

Mengikut senarai kes mahkamah, kes Riza akan disebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata Riza ditahan di ibu pejabat SPRM Putrajaya pada kira-kira pukul 12 tengah hari. Bagaimanapun, Riza dibebaskan dengan ikat jamin dan akan dituduh di Mahkamah Sesyen di sini pada 9 pagi ini. – Bernama

 

Related Articles

Leave a Reply