Home Semasa Lagi bot nelayan Vietnam ditahan di perairan negara

Lagi bot nelayan Vietnam ditahan di perairan negara

by Nurulhuda

KUDAT, 01 Julai – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat sekali lagi berjaya menahan sebuah bot nelayan Vietnam yang menangkap Balat secara haram di perairan negara di sekitar 18 Batu Nautika Timur Laut dari Pulau Sibongor Laut, Kudat pagi kelmarin.

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Kudat, Leftenan Maritim Musa Dail berkata bot nelayan Vietnam yang dinaiki lima awak-awak termasuk tekong warga Vietnam berusia dalam lingkungan 29 hingga 30 tahun itu ditahan pada pukul 10.00 pagi dan

“Hasil pemeriksaan mendapati, bot dan nelayan terbabit tidak mempunyai sebarang dokumen pendaftaran yang sah.

“Ini merupakan kes ke sembilan melibatkan tangkapan Balat di Perairan Kudat pada tahun ini. Bot-bot ini menggunakan peralatan yang diharamkan. Nilai rampasan bot dan Balat dianggarkan sebanyak RM600 ribu. Kuantiti Balat yang dirampas dianggarkan seberat 500 kilogram,” jelas beliau.

Musa berkata balat merupakan sejenis hidupan laut unik yang dianggap makanan mewah dan berkhasiat. Sabah yang sememangnya kaya dengan Balat, menjadi perhatian para penggemarnya dari seluruh dunia. Permintaan dalam dan luar negara yang tinggi merupakan salah satu faktor yang menarik nelayan-nelayan asing untuk mengaut hasil negara secara haram.

“Bot beserta kesemua nelayan Vietnam tersebut ditahan dan diiring ke Jeti Sabah Port Kudat dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk siasatan lanjut. Kes disiasat dibawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63,” kata Musa dalam satu kenyataan hari ini.

Orang awam terutama komuniti maritim yang mempunyai maklumat diminta untuk melaporkan aktiviti menyalahi undang-undang menerusi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Kudat di talian 088-611858.

 

Related Articles

Leave a Reply