Home Pertahanan dan Keselamatan Hospital Medan Malaysia terima Anugerah Inovasi Sultan Azlan Shah

Hospital Medan Malaysia terima Anugerah Inovasi Sultan Azlan Shah

by Bernama

KUALA LUMPUR, 1 Jul – Hospital Medan Malaysia menerima satu lagi penghargaan, Anugerah Inovasi Piala Sultan Azlan Shah.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata anugerah itu sebagai penghargaan kepada kerjasama antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk perancangan, pembinaan dan pengoperasian hospital medan di Cox’s Bazar, Bangladesh.

“Dengan rasa rendah hati saya menerima Anugerah Inovasi Piala Sultan Azlan Shah bagi pihak KKM bersama Yang Berbahagia Lt Jen Datuk (Dr) Hj Ya’akop Koming, bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM daripada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang juga Kolonel Yang Dipertua Kor Kesihatan Diraja ATM,” kata Dr Noor Hisham dalam catatan terkini di laman Facebooknya, malam ini.

Upacara itu berlangsung pada Jumaat malam lepas bersempena Majlis Santapan Malam Rejimental Sempena Hari Ulang Tahun Kor Kesihatan Diraja Ke-52.

Hospital Medan Malaysia sebelum ini menerima pelbagai penghargaan antarabangsa, termasuk daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Persatuan Bulan Sabit Merah serta pelbagai agensi antarabangsa dan tempatan.

Dr Noor Hisham berkata hospital medan itu telah beroperasi sejak Disember 2017 untuk mengurangkan beban kebanjiran pelarian Rohingya dari Myanmar.

“Kementerian Kesihatan, menerusi Op Starlight 1 menguruskan hospital itu sebelum diambil alih oleh ATM pada March 2018,” katanya. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply