Home Pertahanan dan Keselamatan Maritim Malaysia rampas rokok seludup bernilai RM 318,640

Maritim Malaysia rampas rokok seludup bernilai RM 318,640

by Bernama

PASIR PUTEH, 28 Jun – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan menggagalkan cubaan menyeludup 400,000 batang rokok berjumlah RM318,640 di lokasi kira-kira 0.1 batu nautika dari persisiran Pantai Geting, Tumpat semalam.

Pemangku Pengarah APMM Kelantan Komander Maritim Ismail Hamzah berkata pihaknya menahan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan kira-kira pukul 4.30 pagi semalam selepas mendapat maklumat daripada pihak risikan.

“Bot berkenaan sedang menuju ke Pangkalan Kubor, Tumpat selepas keluar dari sempadan Thailand dan dikejar oleh pasukan peronda Maritim.

“Beberapa suspek memandu bot berkenaan ke tepi pantai dan melarikan diri, hasil pemeriksaan di kawasan sekitar turut menemui sebuah lori tanpa pemandu bersama muatan rokok putih,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat APMM Kelantan di  Tok Bali di sini, hari ini.

Ismail berkata beliau percaya rokok putih berkenaan adalah untuk pasaran di kawasan selatan termasuklah Selangor, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply