Home Semasa Tanah runtuh: Operasi SAR tujuh jam keluarkan 4 mayat

Tanah runtuh: Operasi SAR tujuh jam keluarkan 4 mayat

by Bernama

GEORGE TOWN, 26 Jun – Operasi pencarian empat mangsa warga Myanmar yang tertimbus dalam kejadian tembok penahan tanah, runtuh di Jalan Batu Ferringhi, Tanjung Bungah di sini, berakhir dengan penemuan dan pengeluaran mayat terakhir dari tempat kejadian kira-kira pukul 4.35 pagi ini.

Penemuan mayat terakhir itu menamatkan pencarian selama kira-kira tujuh jam selepas kejadian itu dilaporkan pada pukul 9.45 malam tadi yang menyaksikan pasukan pencarian terpaksa mengharungi beberapa kesulitan sebelum berjaya mencapai misi mereka.

Pengumuman penemuan mayat terakhir oleh Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Che Zaimani Che Awang seperti membawa kelegaan bukan hanya kepada pasukan pencarian, malah dalam kalangan pengamal media yang pernah mengharungi pengalaman membuat liputan operasi seumpama ini tahun lepas.

Kejadian terbaharu ini sudah pasti mengingatkan mereka kembali kepada kejadian tanah runtuh di Bukit Kukus 19 Okt tahun lepas yang melibatkan operasi pencarian selama empat hari sebelum berakhir dengan mencatatkan sembilan kematian.

Operasi kali ini turut menyaksikan semangat tinggi dalam kalangan petugas operasi untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dengan efisien dan bersepadu biarpun menghadapi beberapa cabaran.

Dalam insiden semalam, Che Zaimani berkata mayat keempat warga Myanmar yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di tapak binaan tembok penahan tanah di Jalan Batu Ferringhi, Tanjung Bunga dekat sini ditemukan pada pukul 3.35 pagi ini.

Menurutnya, mangsa terakhir itu ditemukan dalam keadaan kedudukan berdiri berhampiran dengan penemuan tiga mayat yang lain.

“Kita telah berjaya menemui kesemua mangsa yang tertimbus dalam kejadian ini. Mangsa terakhir kita jumpa pada pukul 3.35 pagi. Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam usaha menyelamat sehingga proses ini selesai.

“Operasi ini ditamatkan sepenuhnya selepas mayat keempat berjaya dibawa keluar,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Beliau berkata pasukan penyelamat mengalami sedikit kesukaran untuk mengeluarkan mangsa disebabkan banyak besi-besi cerucuk yang berada di tempat kejadian sekali gus menyebabkan proses untuk menggali tanah terganggu.

“Mereka ini sedang memasang besi-besi cerucuk untuk memasang dinding penahan di tempat tersebut. Sebahagian daripada mangsa nampak tercedera kerana besi-besi ini. Tiga mayat ditemukan dalam keadaan berdiri manakala satu mayat terbaring berhampiran mayat yang lain,” katanya.

Sebelum itu, sebatang akar tunjang pokok yang besar terdapat dalam runtuhan tanah itu juga telah menyukarkan usaha untuk mengeluarkan mangsa, namun ini tidak mematahkan semangat pasukan itu biarpun mengharungi tugas dari malam hingga ke awal pagi.

Che Zaimani berkata kesemua mangsa tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan pihaknya akan berhubung dengan Kedutaan Myanmar bagi mendapatkan maklumat dan butiran kesemua mangsa berdasarkan cap jari yang diperoleh.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang, Mohd Hafiz Hafizal Timaradin berkata seramai 117 anggota dan pegawai dari lima balai serta dibantu anggota Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat itu.

Selain polis dan bomba, operasi SAR turut disertai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan pertubuhan bukan kerajaan.

Seorang tukang kebun yang menjadi saksi insiden yang berlaku pukul 9.25 malam itu mendakwa mendengar satu dentuman kuat sebelum melihat sebuah tembok penahan di lereng bukit berdekatan sebuah pusat peranginan di Tanjung Bungah di sini runtuh.

Zulkefli Tinggal, 61, memberitahu polis bahawa tembok berkenaan sedang dibina pekerja warga Myanmar yang hanya dikenalinya dengan nama Ong, bersama-sama tiga lagi rakan senegara Ong.

Menurut saksi ini, Ong sudah bekerja di pusat peranginan itu hampir tiga tahun sebagai petugas penyelenggara dan keempat-empat warga Myanmar itu sudah menjalankan kerja-kerja pembinaan tembok itu sejak seminggu lepas.

Pemilik pusat peranginan itu pula memberitahu keempat-empat warga Myanmar itu datang menawarkan diri untuk membina tembok penahan tanah dalam tempoh 20 hari namun hanya mengenali Ong, ekoran tiga pekerja lain dibawa oleh Ong.

Kesemua mangsa diupah oleh pemilik sebuah resort di situ untuk membina tembok penahan tanah selepas mendapati berlaku pergerakan tanah sejak seminggu lalu.  – Bernama

Related Articles

Leave a Reply