Home Pertahanan dan Keselamatan Markas Angkatan Bersama berpindah ke Kem Sungai Panching

Markas Angkatan Bersama berpindah ke Kem Sungai Panching

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 25 Jun – Markas Angkatan Bersama (MK AB) yang beroperasi di Kem KEMENTAH berpindah ke penempatan baharu di Kompleks Markas Angkatan Bersama Kem Sungai Panching, Kuantan, Pahang.

Hal Ehwal Awam, Markas Angkatan Bersama dalam satu kenyataan berkata bersempena dengan perpindahan ini, Upacara Perbarisan Paluan Berundur MK AB telah diadakan di Padang Kawad Kem KEMENTAH pada petang semalam.

“Upacara ini secara rasminya menandakan tamatnya pengoperasian MK AB di bangunan Kem KEMENTAH, Kuala Lumpur dan akan meneruskan pengoperasiannya di Kompleks Markas Angkatan Bersama Kem Sungai Panching,” kata kenyataan itu.

Perbarisan ini terdiri daripada 56 pegawai dan 125 anggota lain-lain pangkat (LLP) dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas di MK AB diketuai oleh Asisten Ketua Staf J5, Laksamana Pertama Dato’ Saifuddin Kamarudin selaku Ketua Perbarisan.

“Dalam upacara ini turut diadakan penyerahan bendera MK AB oleh Panglima Angkatan Bersama (PAB), Leftenan Jeneral Datuk Suhaimi Mohd Zuki kepada Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin, sebagai simbolik pengunduran MK AB dari bangunan Kem KEMENTAH,” jelasnya.

Turut hadir pada upacara itu, Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany; Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Hasaga Abdullah.

Sejarah penubuhan MK AB, ianya telah dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan pada ketika itu pada 6 September 2004.

“MK AB diwujudkan untuk memenuhi keperluan penubuhan sebuah Markas Pemerintahan Angkatan Bersama (MK PAB).

“Laksamana Madya Datuk Ramlan Mohamed Ali, Ketua Staf Markas ATM telah dilantik merangkap jawatan sebagai Panglima Pemerintahan Angkatan Bersama (PPAB) yang pertama,” ujarnya.

Pada Ogos 2005 organisasi ini telah ditangguhkan buat sementara sehinggalah ditubuhkan semula sebagai MK AB pada 1 Disember 2006.

“Penubuhannya pada kali ini lebih menumpukan kewujudan perjawatan keanggotaan yang kekal dan bertugas di sebuah Markas yang tersendiri bagi pengendalian operasi yang lebih mantap.

“Bagi menentukan perjawatan MK AB dapat direalisasikan, Markas ATM telah memacu usaha untuk memperolehi perjawatan yang tetap dan telah diluluskan oleh oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) secara rasminya pada 16 Julai 2007,” jelas kenyataan itu.

Setelah perjawatan MK AB diluluskan Leftenan Jeneral Datuk Allatif Mohd Noor dilantik sebagai Panglima Angkatan Bersama (PAB).

“Dengan kekuatan seramai 312 Pegawai dan anggota, MK AB telah melaksanakan tugas yang diamanahkan berdasarkan kepada konsep Bersama (Jointness) yang bersifat Tiga Khidmat (Tri-Service) yang diwujudkan untuk melaksanakan fungsinya dengan lebih berkesan dalam membantu Panglima Angkatan Tentera dalam aspek pemerintahan dan pengawalan operasi di peringkat tertinggi ATM,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply