Home Pertahanan dan Keselamatan Penguatkuasa Indonesia cabar Malaysia- ceroboh perairan, langgar dan cederakan nelayan tempatan

Penguatkuasa Indonesia cabar Malaysia- ceroboh perairan, langgar dan cederakan nelayan tempatan

by M.Daim

LUMUT, 21 Jun – Sebuah kapal Pengawas Perikanan Indonesia dilaporkan telah bertindak ganas dengan menceroboh dan merempuh sebuah bot nelayan tempatan di perairan tenggara Pulau Jarak pada pagi tadi.

Menurut Maritim Malaysia dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan sebuah bot nelayan tempatan bernombor PKFB 1802 telah mengalami kerosakan dan mencederakan dua orang nelayan.

Maritim Malaysia bertindak menghantar Bot Penggalang bersama sebuah helikopter ke tempat kejadian setelah menerima aduan dari pihak nelayan.

“Bot Penggalang bersama sebuah pesawat udara Maritim Malaysia telah dikejarkan ke lokasi kejadian dan menemui bot nelayan yang ditahan sedang ditarik oleh KP Orca 02 di lokasi 35.6 batu nautika tenggara Pulau Jarak, Malaysia iaitu 5 batu nautika dari garisan sempadan pada kira-kira 8.50 pagi,” kata Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Wan Mat Wan Abdullah.

Menurut beliau, tiga anggota penguatkuasa Maritim Malaysia telah menaiki KP Orca 02 bagi melakukan rundingan untuk melepaskan bot nelayan Malaysia yang telah ditahan.

“Pihak penguatkuasa Indonesia enggan melepaskan bot yang telah ditahan dalam perairan negara kita,

“Sepanjang rundingan itu, kru KP Orca 02 menyatakan bahawa mereka tidak selesa berada dalam perairan Malaysia dan menarik bot nelayan ke sempadan sehingga ke garisan sempadan Malaysia – Indonesia,

“Kami merasa amat kesal atas kejadian yang berlaku ini dan tidak menyangka bahawa badan penguat kuasa negara jiran itu bertindak jauh melampaui undang-undang negara ini dan antarabangsa serta tidak menghiraukan keselamatan dan nyawa para nelayan,” tambah Wan.

Related Articles

Leave a Reply