Home Semasa Batalion 8 PGA tumpu bendung aktiviti penyeludupan barangan subsidi

Batalion 8 PGA tumpu bendung aktiviti penyeludupan barangan subsidi

by Bernama

PASIR PUTEH, 20 Jun – Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) akan memberi keutamaan bagi membendung aktiviti penyeludupan barangan subsidi kerajaan terutama gula, minyak petrol dan minyak masak ke negara jiran menerusi sempadan Malaysia/Thailand bermula bulan hadapan.

Pegawai Pemerintahnya Supt Muhammad Shamsuddin berkata 560 pegawai dan anggota yang berpangkalan di Pengkalan Chepa akan memantau 24 jam di kawasan sempadan bermula Pengkalan Kubur, Tumpat sehingga ke Bukit Bunga, Jeli.

“Kita dapati 138 jalan tikus yang dijadikan pangkalan haram dibina sepanjang sempadan bagi menyeludup barangan berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama anak yatim di Pusat Jagaan Rohaniah, Gong Kulim di sini, hari ini.

Pada majlis itu, beliau menyampaikan bantuan wang kepada 200 anak yatim di pusat berkenaan yang turut dihadiri pengerusi pusat terbabit, Omar Zaki Nawawi .

Muhammad berkata, pihaknya juga akan menumpukan kemasukan barangan terlarang terutama dadah dan senjata api ke negara ini yang boleh menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Katanya, pada Mei lalu pihaknya berjaya merampas telekung wanita dan bunga api bernilai RM700,000 di Pengkalan Kubur yang cuba diseludup masuk ke negara ini bagi keperluan sambutan Aidilfitri lepas dan turut menahan seorang pemandu lelaki rakyat tempatan – Bernama

 

Related Articles

Leave a Reply