Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut Pesara TLDM mampu berjaya dalam pelbagai bidang – Panglima Armada Barat

Pesara TLDM mampu berjaya dalam pelbagai bidang – Panglima Armada Barat

by Bernama

LUMUT, 17 Jun – Pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mampu berjaya dalam pelbagai bidang selepas persaraan kerana mereka memiliki banyak kemahiran, kepakaran dan pengalaman sepanjang perkhidmatan.

Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Rusli Ramli berkata sebagai anggota TLDM, mereka juga telah dilatih dengan nilai disiplin, kerjasama, berketrampilan diri serta integriti.

“Segala pengalaman, pergaulan serta hubungan dengan rakan-rakan seangkatan ini tanpa kita sedar menjadi aset penting dan bernilai bagi menempuh dunia persaraan.

“Saya berkeyakinan peluang di luar masih luas untuk diceburi. Tidak lupa juga pesanan saya bagi pesara supaya terus mempraktikkan budaya kecergasan bagi memastikan gaya hidup sihat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Fair Winds and Following Seas di Auditorium M. Sidek Shabudin di Pangkalan TLDM hari ini.

Majlis tahunan itu bertujuan mengenang jasa serta pengorbanan pesara TLDM semasa berbakti dalam perkhidmatan dan seramai 212 pesara telah hadir pada majlis tersebut.

Sementara itu, wakil pesara, Maliki Zolkipli, ketika berucap berkata setiap pesara mempunyai nilai tersendiri terutama melibatkan kemahiran dan mereka juga pandai mencari peluang dalam pelbagai bidang.

“Apa yang TLDM peroleh sekarang adalah hasil usaha pesara bagi memastikan keselamatan negara terjamin dan tanggungjawab ini digalas oleh anggota yang masih dalam perkhidmatan pula,” katanya. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply