Home SemasaGlobal AS lancar perang kewangan, politik terhadap Palestin

AS lancar perang kewangan, politik terhadap Palestin

by Bernama

RAMALLAH, 17 Jun – Perdana Menteri Palestin Mohammad Ishtaye pada Ahad menuduh pentadbiran Amerika Syarikat (AS) melancarkan satu peperangan dari segi kewangan dan politik terhadap Pihak Berkuasa Palestin (PA), lapor agensi berita China Xinhua.

Menurut kenyataan Ishtaye yang dikeluarkan selepas beliau bertemu Menteri Hal Ehwal Luar Jerman Niels Annen di Ramallah, rakyat Palestin pada dasarnya menolak inisiatif Amerika bagi menyelesaikan konflik Israel-Palestin.

AS berhasrat membentangkan satu inisiatif damai, yang dikenali sebagai “Deal of the Century,” dalam usaha menyelesaikan konflik Israel-Palestin.

PA dan beberapa puak Palestin telah mengumumkan bahawa mereka menolak inisiatif itu.

“Kami menolak ‘Deal of the Century’ selepas pentadbiran (Presiden Donald) Trump memindahkan kedutaan AS ke Baitulmaqdis dan menutup pejabat Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) di Washington,” kata Ishtaye.

Beliau berkata AS dan Israel “sedang melancarkan satu peperangan dari segi kewangan terhadap rakyat Palestin dan Pihak Berkuasa Palestin, terutama dalam menghentikan dana tahunan yang disalurkan kepada Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA).”

Sementara itu, Ishtaye mengumumkan bahawa rakyat Palestin turut menolak bengkel ekonomi yang diterajui AS di Bahrain, yang bertajuk “Peace for Prosperity.”

“Kami tidak boleh terus-terusan menerima situasi semasa kerana Israel, yang disokong sepenuhnya oleh Amerika Syarikat, sedang mencuri tanah serta wang kami dan menjejaskan sebarang peluang untuk mewujudkan sebuah negara Palestin,” katanya.

Saeb Erekat, Setiausaha Agung Jawatankuasa Eksekutif PLO yang turut bertemu Annen, dalam satu kenyataan akhbar berkata rakyat Palestin komited dengan prinsip penyelesaian dua negara di sempada 1967 dengan Baitulmaqdis Timur diangkat sebagai ibu negaranya.

Erekat menegaskan bahawa rakyat Palestin menolak bengkel ekonomi di Bahrain yang dijadual berlangsung di Manama dari 25 hingga 26 Jun, dan menambah bahawa “bengkel itu bertujuan mengubah prinsip tanah untuk tanah kepada kedamaian dan kemakmuran.”

Di Gaza, Khalil al-Hayya, timbalan ketua pergerakan Islam Hamas, berkata pihaknya menggesa satu mogok umum diadakan di wilayah-wilayah Palestin pada 26 Jun sebagai bantahan terhadap penganjuran bengkel ekonomi di Bahrain.

Pihak Berkuasa Palestin di Tebing Barat menggesa agar perhimpunan dan demonstrasi diadakan pada 25 dan 26 Jun juga sebagai membantah bengel ekonomi tajaan AS yang bakal berlangsung di Bahrain – Bernama

Related Articles

Leave a Reply