Home Pertahanan dan Keselamatan Rumah ibadat dikenalpasti antara yang menceroboh tanah Kementerian Pertahanan

Rumah ibadat dikenalpasti antara yang menceroboh tanah Kementerian Pertahanan

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 11 Jun – Kementerian Pertahanan telah mengenalpasti sebanyak 16 lokasi pencerobohan ke atas tanah miliknya telah berlaku sehingga Mei 2019.

Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan berkata antara pencerobohan yang telah berlaku adalah seperti pertanian, pembinaan struktur, pembinaan rumah setinggan, rumah ibadat dan pembalakan haram.

Aktiviti pencerobohan yang berterusan dan tidak terkawal akan menyebabkan kerajaan mengalami kerugian kerana tanah-tanah milik Persekutuan kegunaan Kementerian Pertahanan ini telah diduduki secara haram dan tidak mendatangkan hasil kepada Kerajaan.

“Pendudukan secara haram boleh mendatangkan isu keselamatan terutama tanah-tanah yang dijadikan sebagai kawasan tapak lapang sasar dan Manuver. Ini boleh membahayakan keselamatan penceroboh sekiranya pihak tentera mengadakan operasi dan latihan ketenteraan di kawasan tersebut,

“Kutipan hasil tanaman dan pertanian oleh tuan-tuan tanah yang tidak layak akan lebih merosakkan tanaman sedia ada dan mengurangkan hasil Kerajaan,

“Pencerobohan ini akan membantutkan perancangan pembangunan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Keadaan ini berlaku kerana kesukaran di pihak kerajaan untuk mengeluarkan pengusaha tanah secara haram dari kawasan yang diceroboh,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan telah mengambil tindakan dengan mengemukakan permohonan melaksanakan penguatkuasaan kepada  Jabatan Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri serta mengeluarkan Notis Pengosongan Tapak kepada pihak penceroboh.

Manakala ATM juga telah mengeluarkan arahan pengawasan dan kawalan ke atas pencerobohan tanah-tanah milik persekutuan itu.

Namun bagi memastikan aktiviti pencerobohan ini daripada berleluasa berlaku, Kementerian Pertahanan bercadang untuk mengambil beberapa tindakan seperti pemasangan pagar di atas keseluruhan perimeter tanah dan pemasangan papan tanda Kawasan Larangan atau Kawasan Tentera.

“Mewujudkan perjanjian penyewaan atau pajakan tanah tertakluk kepada perancangan pembangunan daripada pihak tentera,

“Memohon perintah mahkamah (Court order) bagi memerintahkan penceroboh mengosongkan tapak dan memerintahkan Pihak Berkuasa Negeri untuk menjalankan operasi penguatkuasaan tanah serta penyerahan semula tanah kepada pihak JKPTG,” ujarnya.

Tanah Kementerian Pertahanan boleh diklasifikasikan kepada empat kategori iaitu Tanah Milik Persekutuan, Tanah Rizab Seksyen 62 Kanun Tanah Negara, Tanah Rizab Fasal 166 Perlembagaan Persekutuan dan tanah di Bawah Akta Maneuver 1983.

“Seperti sedia maklum, semua tanah yang berkeluasan keseluruhan 1,165,933.73 ekar ini sedang diduduki oleh ATM sebagai tapak-tapak kem tentera, tapak lapang sasar serta kawasan perumahan Angkatan Tentera,

“Orang awam adalah dinasihatkan agar tidak menceroboh mana-mana tanah kegunaan Kementerian Pertahanan. Bagi tujuan penyewaan tanah-tanah milik Persekutuan kegunaan Kementerian Pertahanan pula, orang awam yang berminat perlu mengemukakan permohonan kepada JKPTG, “ kata kenyataan itu.

Related Articles

Leave a Reply