Home Semasa Hina dan fitnah Mujahid: GMPN buat laporan polis

Hina dan fitnah Mujahid: GMPN buat laporan polis

by Bernama

KUALA LUMPUR, 2 Jun – Gerakan Martabat Pejuang Negara (GMPN) Malaysia menggesa polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat pemilik akaun Facebook yang memuat naik suntingan gambar memfitnah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Presidennya Razali Zakaria berkata pemilik media sosial yang menggunakan nama ‘Shamshul Faisal Abdul Wahab’ dikesan memuat naik suntingan gambar memaparkan wajah seolah-olah Mujahid sedang mengusung kavadi pada perayaan Thaipusam.

Beliau berkata kenyataan sedemikan yang dimuat naik bersama gambar berkenaan didapati menghina agama Islam.

“Tindakan itu adalah berunsur jahat dan cubaan menghasut orang ramai atau netizen untuk membenci Menteri Agama (Mujahid) serta kerajaan dengan tujuan untuk mencetuskan kemarahan dan ketegangan antara Islam serta Hindu.

“Saya bersama beberapa lagi NGO memohon PDRM dan SKMM menyiasat dan bertindak segera terhadap status dimuat naik pemilik akaun media sosial itu dengan mengenakan tindakan undang-undang yang setimpal dengan perbuatannya itu,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini.

Sementara itu, Mujahid menerusi satu status yang dimuat naik dalam akaun Facebook rasminya semalam, mengesahkan telah membuat laporan polis terhadap posting Facebook itu yang didakwa memfitnahnya.

Berikutan itu, Mujahid menyifatkan tindakan individu yang menyunting gambarnya di media sosial adalah bertujuan memburukkan maruah beliau.

Beliau berkata adalah malang apabila ada yang rakus memfitnah dan memburukkan maruah orang lain dengan tuduhan-tuduhan tidak berasas.

“Terkini saya ditunjukkan seorang pengguna Facebook bernama ‘Shamshul Faisal Abdul Wahab’ yang memuat naik gambar yang diedit dengan meletakkan wajah saya yang saya yakin dengan tujuan memburukkan maruah saya.

“Inilah bahana budaya takfiri (mengkafirkan) yang sudah semakin menjadi-jadi dengan wujudnya satu golongan yang sentiasa mengapi-apikan semangat perkauman dan agama secara melampau,” katanya – Bernama

Related Articles

Leave a Reply