Home Pertahanan dan Keselamatan Ceroboh perairan negara, APMM tahan lapan bot nelayan Vietnam di pantai timur

Ceroboh perairan negara, APMM tahan lapan bot nelayan Vietnam di pantai timur

by Bernama

KUALA TERENGGANU, 30 Mei – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan lapan buah bot nelayan asing dari Vietnam ketika menceroboh perairan negeri-negeri Pantai Timur dalam operasi Ops Naga yang dijalankan dari 25 hingga 28 Mei lepas.

Pengarah Maritim Pahang, Laksamana Muda Maritim, Datuk Zulkarnain Mohd Omar berkata dalam operasi itu seramai 63 nelayan berumur antara 18 hingga 57 tahun telah ditahan dan kesemua mereka tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Daripada lapan bot terbabit enam daripadanya telah ditahan oleh KM (Kapal Maritim) Pekan pada kedudukan kira-kira 110 hingga 130 batu nautika daripada Muara Tok Bali (di Kelantan) pada 25 Mei lepas.

“Manakala pada 26 Mei, sebuah bot telah ditahan oleh aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) iaitu KD Handalan pada jarak 100 batu nautika daripada Kuala Terengganu dan sebuah bot lagi ditahan malam tadi pada jarak 39 batu nautika dari Muara Tok Bali oleh Bot Maritim Penyelamat 7,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Maritim Negeri Terengganu, di sini hari ini.

Katanya, nilai rampasan termasuk bot dan hasil laut dianggarkan bernilai kira-kira RM10 juta dan kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

Zulkarnain berkata dalam operasi bersepadu Ops Naga dijalan bersama beberapa agensi berkaitan sejak 24 April lepas telah memeriksa 496 buah bot di mana 41 buah bot nelayan Vietnam ditahan di Perairan Terengganu, Kelantan, dan Pahang, melibatkan nilai rampasan sebanyak RM45 juta.

Tambahnya, APMM akan meningkatkan rondaan pada musim perayaan yang akan tiba bagi memastikan perairan negara berada dalam keadaan selamat dan terkawal.

Beliau turut menyeru masyarakat dan nelayan agar memberi kerjasama bagi membanteras sebarang kegiatan dan salah laku di perairan negara dengan menyalur sebarang maklumat berkaitan kepada pihaknya di Talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu menerusi talian 09-6223657. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply