Home Pertahanan dan Keselamatan Zahid, Hishammuddin dijangka beri keterangan isu Land Swap – SPRM

Zahid, Hishammuddin dijangka beri keterangan isu Land Swap – SPRM

by Bernama

KUALA LUMPUR, 21 Mei – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka memanggil bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bagi memberi keterangan berhubung isu ‘Land Swap’.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut bila kedua-dua mereka akan dipanggil, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata pihaknya akan memanggil sesiapa sahaja saksi terlibat yang boleh membantu dalam siasatan kes berkenaan.

Beliau berkata pihaknya sudah memulakan siasatan kes itu selepas menerima laporan dibuat oleh pihak Pejabat Menteri Pertahanan beberapa bulan lepas.

“Kami sedang menjalankan siasatan berhubung dua kes berkenaan yang dilaporkan dan perlu melihat keseluruhan laporan audit Kementerian Pertahanan.

“Ini kerana SPRM terlebih dahulu perlu meneliti dan mengetahui isu-isu jenayah rasuah yang sedang berlaku dalam kes terbabit (isu Land Swap),” katanya selepas menghadiri majlis penutup kursus ‘Anti-Corruption Training’ untuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Nasional (ONACC) Thailand, di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia, di sini hari ini.

Selain itu, Azam berkata Hishammuddin juga telah mengemukakan satu laporan lain kepada SPRM berhubung kes itu pada minggu lepas.

“Maka kami melihat kepada semua perkara yang dikemukakan untuk diteliti dan disiasat mana-mana kes yang ada kesalahan rasuah atau salah guna kuasa,” katanya.

Azam berkata buat masa ini tiada tangkapan dibuat berhubung kes itu.

Khamis lepas, Kementerian Pertahanan membuat laporan kepada SPRM berhubung baki 14 kes ‘Land Swap’ atau pertukaran tanah milik kementerian berkenaan.

Laporan itu dibuat Pegawai Tugas-tugas Khas Kepada Menteri Pertahanan, Mohd Nasaie Ismail di ibu pejabat SPRM susulan hasil siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Kewangan dan Perolehan yang diketuai Tan Sri Ambrin Buang terhadap 16 isu ‘Land Swap’ membabitkan tanah milik Kementerian Pertahanan.

Pada Februari lepas, laporan SPRM telah dibuat mengenai dua projek membabitkan projek pembinaan Kem Paloh, Johor dan Kem Hutan Melintang, Perak. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply