Home Pertahanan dan Keselamatan Lagi bot nelayan penceroboh dari Vietnam ditahan TLDM

Lagi bot nelayan penceroboh dari Vietnam ditahan TLDM

by Nurulhuda

KUANTAN 14 Mei – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menahan dua bot nelayan asing dan 18 awak-awak dipercayai warga Vietnam di Timur Laut Pulau Redang, semalam.

Pegawai Geledah KD Pahang, Leftenan Abdul Hannan Abdul Rafar berkata, dua bot nelayan asing itu dipercayai sedang melakukan aktiviti menarik pukat ganding ketika dikesan.

“Kedua-dua bot cuba untuk melarikan diri apabila menyedari kehadiran KD Pahang ke arah sempadan perairan antarabangsa.

“Melalui pemerhatian dan rakaman video oleh kru helikopter Fennec, awak-awak bot nelayan asing itu dilihat berusaha memotong tali pukat bagi memudahkan mereka melarikan diri,” kata Hannan dalam satu kenyataan hari ini.

Tim PASKAL yang diturunkan ke bot-bot nelayan Vietnam melalui kaedah fast roping. Foto : MAWILLA 1

Menurut beliau, setelah hampir 30 minit dikejar, kedua-dua bot itu berjaya ditahan oleh KD Pahang menggunakan Tim Pasukan Khas Laut (PASKAL) yang diturunkan ke bot-bot nelayan tersebut melalui kaedah fast roping.

Helikopter Fennec TLDM mengejar Bot Nelayan Vietnam. Foto: MAWILLA 1

Hannan berkata, seramai 18 orang awak-awak yang dipercayai warganegara Vietnam ditahan bersama bot-bot tersebut. Kesemua mereka tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

Tim menggeledah sedang melakukan pemeriksaan ke atas bot nelayan Vietnam. Foto: MAWILLA 1

“Hasil pemeriksaan, bot nelayan asing tersebut didapati telah menceroboh perairan negara dan menangkap ikan tanpa kebenaran.

“Kedua-dua bot dan semua nelayan warganegara asing itu akan diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia ) untuk tindakan selanjutnya,” jelas Pegawai Geledah KD Pahang.

Sementara itu,  Ketua Pegawai Peperangan KD Pahang, Lt Kdr Mohd Adib Ikhwan Jamaludin TLDM menegaskan TLDM dan agensi-agensi penguatkuasa yang lain tidak pernah sesekali ‘lena’ dalam memastikan kedaulatan dan keselamatan negara sentiasa terpelihara.

“Kehadiran Armada TLDM dan agensi-agensi penguatkuasa lain yang berterusan dipercayai telah mendorong bot-bot nelayan asing untuk menukar modus operandi mereka.

Menurut Mohd Adib, berdasarkan pemerhatian semasa, bot-bot nelayan asing akan menceroboh perairan negara pada lewat petang dan melakukan aktiviti penangkapan ikan secara haram sehingga matahari terbit.

Memasuki hari kedua rondaan yang dilaksanakan oleh KD PAHANG, sebanyak 3 buah bot nelayan asing telah berjaya ditahan.

Related Articles

Leave a Reply