Home Pertahanan dan Keselamatan Kementerian Pertahanan cadang beri elaun bulanan kepada penerima Pingat Jasa Malaysia

Kementerian Pertahanan cadang beri elaun bulanan kepada penerima Pingat Jasa Malaysia

by Bernama

KUANTAN, 4 Mei – Kementerian Pertahanan mencadangkan supaya anggota veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) diberikan elaun bulanan.

Menterinya, Mohamad Sabu berkata perkara itu adalah berdasarkan keputusan yang diperoleh daripada mesyuarat Majlis Veteran Kebangsaan (MVK) pada Februari lepas.

“Kita akan panjangkan perkara ini kepada jemaah menteri secepat mungkin kerana berharap keputusan dapat dicapai tahun ini dan bayarannya boleh bermula tahun hadapan.

“Kita berharap pemberian elaun ini boleh dimasukkan dalam peruntukan Bajet 2020,” katanya pada sidang media Majlis Penganugerahan PJM kepada Veteran ATM peringkat Pahang di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Tanjung Gelang di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Mohamad menyempurnakan istiadat pengurniaan pingat itu kepada 310 veteran ATM, selain menyampaikan sumbangan kewangan berjumlah RM90,700 kepada 19 persatuan veteran ATM.

Beliau berkata elaun itu yang akan dikenali sebagai ‘Elaun Kenangan’ itu juga adalah penghargaan kerajaan terhadap pengorbanan anggota tentera yang berjuang menentang komunis.

“Usaha (pemberian elaun) ini juga dapat mengurangkan jurang pencen antara veteran di samping sedikit sebanyak membantu veteran tidak berpencen,” katanya.

Setakat ini, 6,781 veteran ATM menerima PJM. PJM diberikan kepada anggota ATM yang berkhidmat menentang komunis dari 1969 sehingga 1990 dan anggota pengaman dari luar negara yang berkhidmat di negara ini dari 1957 sehingga 1968 – Bernama

Related Articles

Leave a Reply