Home Semasa Bekas pegawai khas menteri direman tiga hari

Bekas pegawai khas menteri direman tiga hari

by Bernama

KUALA LUMPUR, 30 Apr – Seorang bekas pegawai khas menteri di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu direman tiga hari bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan projek di sebuah kementerian termasuk pembekalan peralatan pesawat bernilai kira-kira RM1.8 juta.

Perintah tahanan reman terhadap ‘Datuk’ itu dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin bermula hari ini hingga Khamis selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan permohonan di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Lelaki berumur 50 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya kira-kira pukul 12 tengah hari semalam ketika hadir memberi keterangan.

Dia dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada kira-kira 9 pagi tadi dengan berpakaian baju lokap SPRM berwarna jingga dan tangan bergari.

Menurut sumber SPRM, siasatan awal mendapati suspek dikatakan telah menerima wang rasuah daripada beberapa syarikat kontraktor sebagai balasan mendapatkan projek pembekalan peralatan secara rundingan terus dengan sebuah kementerian termasuklah pembekalan peralatan pesawat yang dianggarkan bernilai RM1.8 juta pada sekitar 2017. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply