Home Pertahanan dan Keselamatan ATM rampas 600kg ketum di sempadan Durian Burung

ATM rampas 600kg ketum di sempadan Durian Burung

by Bernama

ALOR SETAR, 29 Apr- Pasukan 4 Rejimen Sempadan (4RS) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merampas 600 kilogram daun ketum bernilai kira-kira RM57,000 di kawasan sempadan Durian Burung dekat Padang Terap, semalam.

Panglima 6 Briged, Brigadier Jeneral Datuk Abdul Aziz Ismail berkata rampasan dilakukan anggota ronda pasukan tersebut yang sebelum itu terserempak dengan dua lelaki di sebuah kawasan lombong pasir lama dalam keadaan mencurigakan kira-kira 7 pagi.

“Dua lelaki (dipercayai) tempatan berusia 20-an dan 30-an dilihat sedang memunggah bungkusan hitam dari sebuah kereta tetapi mereka meninggalkan bungkusan itu setelah menyedari kehadiran pasukan keselamatan.

“Selepas pemeriksaan, kita menemui 66 bungkusan plastik hitam yang berisi daun ketum diikat rapi dipercayai untuk diseludup ke negara jiran,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Abdul Aziz berkata suspek dipercayai pergi ke lokasi terbabit untuk meninggalkan daun ketum di situ sebelum diseludup pihak ketiga ke Thailand.

“Permintaan tinggi dan harganya berlipat kali ganda di Thailand menyebabkan daun ketum sering menjadi tumpuan penyeludup akhir-akhir ini untuk mendapatkan wang mudah dan lumayan,” katanya.

Kesemua daun ketum itu dirampas dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap untuk tindakan lanjut. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply