KUALA TERENGGANU, 28 April – Kejayaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan 6 buah bot nelayan penceroboh pada beberapa hari lalu mendedahkan sikap biadap dan taktik licik nelayan asing yang merompak hasil laut negara.
Perkara tersebut didedahkan oleh Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi bin Mohd Ramli yang mengulas kejayaan KM Pekan menahan kesemua bot nelayan asing yang menceroboh perairan Terengganu pada beberapa hari lalu.

Diari salah seorang tekong bot nelayan Vietnam menunjukkan aktiviti pengintipan pergerakan KM Pekan dan KM Langkawi oleh nelayan penceroboh Vietnam. Foto: Maritim Malaysia
“Dalam usaha memberhentikan keenam-enam bot terbabit, pelbagai cabaran ditempuh KM Pekan di mana berlaku adegan kejar buru selama dua jam bagi memberhentikan bot yang pertama,
“Sikap degil tekong bot berkenaan yang enggan berhenti telah menyebabkan KM Pekan terpaksa melepaskan tembakan amaran ke udara untuk menghalang bot terbabit melepaskan diri dari ditahan,” jelas Suffi.
Selain daripada enggan berhenti, bot-bot nelayan penceroboh turut bertindak melakukan gerakan secara berbahaya bagi menggelakkan mereka ditangkap.

Salah sebuah bot nelayan Vietnam yang ditahan oleh KM Pekan. Bot nelayan inimenggunakan nombor pendaftaran bot tempatan secara haram atau lebih dikenali sebagai nombor klon. Foto: Maritim Malaysia
Sementara itu, penahanan bot ke-5 yang bernombor pendaftaran TRF1306 dan bot ke-6 bernombor TRF1308 telah mendedahkan taktik licik nelayan asing yang menggunakan nombor pendaftaran bot nelayan tempatan bagi mengabui mata pihak berkuasa.
Pada masa yang sama, penahanan kedua-dua bot itu juga turut mendedahkan taktik nelayan penceroboh yang sentiasa memerhati gerak-geri kapal Maritim Malaysia.
“Hasil daripada pemeriksaan awal mendapati, tekong bot yang kelima memiliki satu diari yang merekod nama aset-aset Kapal Maritim yang sentiasa melakukan rondaan di kawasan perairan Laut China Selatan,
“Ini jelas menunjukkan bahawa setiap pergerakan aset-aset Maritim Malaysia sentiasa diawasi oleh bot-bot Nelayan Vietnam yang mana mereka akan menghilangkan kelibat ke perairan antarabangsa apabila kapal-kapal Maritim Malaysia dikesan menghampiri ke kawasan pencerobohan mereka,” kata Pengarah Maritim Negeri Terengganu.
Kesemua nelayan kini ditahan dan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen.