Home Pertahanan dan Keselamatan UPNM sumbang tenaga dalam Kertas Putih Pertahanan

UPNM sumbang tenaga dalam Kertas Putih Pertahanan

by Bernama

KUALA LUMPUR 26 April –  Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) memainkan peranan penting dalam usaha melengkapkan Kertas Putih Pertahanan, kata Naib Canselor UPNM Leftenan Jeneral Datuk Abdul Halim Jalal.

Menurutnya UPNM menyediakan tiga orang pensyarah pakar dalam bidang pertahanan dan keselamatan bagi membantu mengolah dan memberikan idea-idea dalam melahirkan Kertas Putih Pertahanan.

“Penglibatan UPNM dalam Kertas Putih Pertahanan adalah daripada segi bagaimana konsep pertahanan ini boleh dilestarikan melalui bantuan pihak-pihak industri berkaitan.

“Kita mahu pertahanan kita ini ‘self sustaining’ tanpa bergantung bantuan dari luar ataupun di peringkat antarabangsa. Maknanya, kita sendiri mampu lahirkan produk-produk mahupun peralatan-peralatan tempatan yang boleh digunakan pihak pertahanan untuk mempertahankan negara.

“Kertas Putih Pertahanan ini akan membincangkan isu-isu ini dan akan menyatakan juga di mana hala tuju negara daripada aspek-aspek sebegini,” katanya selepas merasmikan Pameran Penyelidikan Pameran Penyelidikan, Pertahanan, Keselamatan dan Kemampanan (DSS) di UPNM, Sungai Besi, semalam.

Jelasnya lagi, rakyat juga dijemput untuk memberikan idea-idea bagi membantu mempertahankan negara sekiranya diperlukan dan bukan hanya bergantung kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semata-semata.

“Tugas mempertahankan negara bukan sahaja tanggungjawab agensi keselamatan tapi tanggungjawab bersama. Selain itu, Kertas Putih Pertahanan ini juga akan menjelas dan membincangkan isu-isu pertahanan ini supaya rakyat boleh faham ke mana hala tuju pertahanan negara,” katanya.

Menurutnya, kertas putih itu dijangka siap sebelum hujung tahun ini sebelum dibentangkan di Parlimen.

Sementara itu Abdul Halim berkata, pameran DSS di UPNM yang diadakan dua tahun sekali merupakan satu platform pendedahan kepada para pelajar dan penyelidik muda mengetengahkan produk-produk dan hasil kajian mereka.

“Pameran ini dapat membentuk rangkaian perkongsian ilmu antara penyelidik-penyelidik sama ada di peringkat sekolah hingga ke universiti. Justeru itu, mereka mampu menghasilkan idea-idea baharu selaras dengan keperluan pertahanan negara,” katanya.

Pameran sehari anjuran UPNM ini melibatkan pelbagai peringkat pendidikan dari sekolah hingga ke peringkat profesional selain penyertaan pemain industri berkaitan pertahanan. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply