Home Pertahanan dan Keselamatan Anugerah Media Sosial bukti keberkesanan TUDM sampaikan maklumat di media sosial

Anugerah Media Sosial bukti keberkesanan TUDM sampaikan maklumat di media sosial

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 26 April – Imej profesionalisme Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sekali lagi diiktiraf apabila Bahagian Perhubungan Awam TUDM (MTU-Sekretariat Delta) telah dinobatkan sebagai penerima anugerah dari Dewan Sosial Media Malaysia pada Malam Anugerah Media Sosial Malaysia Tahun 2019, semalam.

Anugerah disampaikan oleh Senator Yusmadi Yusoff kepada Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Mohd Asghar Khan Goriman Khan yang mewakili Panglima Tentera Udara.

Penganugerahan ini merupakan kejayaan kedua buat Bahagian Perhubungan Awam TUDM setelah memenangi anugerah tersebut buat pertama kalinya pada tahun 2017. Kejayaan ini sekaligus iktiraf pengorbanan, usaha dan keupayaan Bahagian Perhubungan Awam TUDM yang aktif dalam melaksanakan tugas mereka.

Anugerah kategori “Best Social Media Excellence Award (Public Services Sector)” merupakan pengiktirafan kepada sektor kerajaan dalam menyalurkan maklumat kepada umum melalui media sosial. Penilaian bagi penerima anugerah ini dilaksanakan berdasarkan keaktifan penyaluran rencana serta maklumat menerusi platform media sosial iaitu Facebook, Twitter dan Instagram.

Anugerah Media Sosial Malaysia adalah merupakan anugerah yang diadakan bagi mengiktiraf kecemerlangan agensi kerajaan mahupun swasta yang menggunakan medium media sosial sebagai platform hebahan maklumat kepada umum.

Sebanyak 33 kategori telah dipertandingkan dalam Anugerah Media Sosial Malaysia yang membabitkan penglibatan pencalonan sebanyak 240 agensi. Penilaian yang dibuat dari panel profesional telah mengenalpasti 33 pemenang yang layak bagi setiap kategori yang dipertandingkan.

 

Related Articles

Leave a Reply