Home Semasa Bekalan air dijangka pulih berperingkat bermula lewat hari ini

Bekalan air dijangka pulih berperingkat bermula lewat hari ini

by Bernama

KUALA LUMPUR, 25 Apr – Bekalan air di kawasan terlibat di Lembah Klang dijangka kembali pulih secara berperingkat bermula lewat hari ini selepas kerja-kerja penambahbaikan di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2) siap dilaksanakan pada 11 malam tadi.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Charles Santiago berkata kerja-kerja penambahbaikan yang bermula pada pukul 8 pagi semalam menepati tempoh jangkaan ditetapkan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dan SPAN.

“LRA SSP2 kini sedang dalam tempoh pemulihan dan pengoperasian semula yang dijangka mengambil masa sekitar 24 jam.

“Bekalan air dijangka kembali pulih secara berperingkat bermula lewat hari ini (25 April), bergantung kepada lokasi sebagaimana dijadualkan Syabas sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

SPAN akan terus memantau secara rapi sepanjang tempoh henti tugas dan pengoperasian semula loji bagi memastikan bekalan air kembali dinikmati pengguna berdasarkan jadual yang dikeluarkan sebelum ini.

Henti tugas LRA SSP2 yang bermula semalam dikatakan menyebabkan gangguan bekalan air hingga 86 jam, bergantung kepada lokasi dan kedudukan pengguna dengan melibatkan 620,835 akaun atau 4,143,465 pengguna di 577 kawasan.

Gangguan itu melibatkan Shah Alam, Klang, Kuala Lumpur, Petaling, Gombak, Kuala Langat serta Kuala Selangor. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply