Home Pertahanan dan Keselamatan Contohi pembangunan industri pertahanan Korea Selatan, Turki – Timbalan Menteri Pertahanan

Contohi pembangunan industri pertahanan Korea Selatan, Turki – Timbalan Menteri Pertahanan

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 23 Apr – Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong hari ini menggesa negara perlu mencontohi pembangunan industri pertahanan di beberapa buah negara maju seperti Indonesia, Korea Selatan dan Turki.

“Turki, Korea Selatan, Indonesia dan Singapura sudah jauh meninggalkan Malaysia dalam industri pertahanan.

“Kesemua negara-negara ini telah maju dari segi produk, kajian dan pembangunan teknologi,” jelas Liew.

Beliau menambah, kesemua negara tersebut memulakan usaha industri pertahanan mereka hampir sama waktu dengan Malaysia.

“Idea dan teknologi baharu adalah penting untuk industri pertahanan negara,

“Kemajuan sains dan teknologi adalah penggerak kepada pembangunan industri pertahanan dan ekonomi negara.

“Kita mampu untuk maju ke hadapan jika kita mempunyai industri pertahanan yang boleh dibanggakan,” ujar Timbalan Menteri Pertahanan.

Beliau menyatakan perkara tersebut semasa menyampaikan ucapan aluan Dialog Perwira 2 di Wisma Perwira Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Menurut beliau, Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) yang berlangsung pada akhir Mac merupakan antara platform untuk melihat semula perkembangan industri pertahanan tempatan.

Beliau menambah, industri pertahanan tanah air mampu untuk maju jauh ke hadapan dan usaha ini memerlukan kerjasama semua pihak.

“LIMA menyaksikan peningkatan penyertaan industri pertahanan tempatan, namun, malaysia mampu untuk lebih ke hadapan,” tegas Liew di hadapan 200 orang peserta yang hadir ke sesi Dialog Perwira 2.

Dialog Perwira 2 merupakan siri dialog kedua yang diadakan arah pembangunan Kertas Putih Pertahanan. Siri kali ini melibatkan penyertaan pemain industri pertahanan tempatan. Siri dialog ini kali pertama diadakan pada 22 Januari 2019.

Perlaksanaan siri dialog ini adalah memastikan Kertas Putih Pertahanan yang sedang dibangunkan oleh Kementerian Pertahanan Malaysia mendapat input dan penglibatan semua pihak.

Kertas Putih Pertahanan yang kali pertama diadakan dalam sejarah tanah air dijangka akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada tahun ini.

 

Related Articles

Leave a Reply