Home Semasa Veteran ANZAC hadir upacara memperingati wira perang

Veteran ANZAC hadir upacara memperingati wira perang

by Bernama

KUCHING, 16 April – Satu upacara khas bagi memperingati wira perang Kor Tentera Australia dan New Zealand (ANZAC) yang gugur dalam Perang Dunia Kedua diadakan di Makam Pahlawan di Jalan Taman Budaya di sini semalam sempena lawatan veteran ANZAC dan Program Pertukaran Pelajar.

Pada upacara itu, Presiden Borneo Exhibition Group, Western Australia, Ryan Rowland meletakkan kalungan bunga di makam wira tentera Australia, manakala Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Lee Kim Shin, Pengerusi Persatuan Bekas Polis Malaysia, Sarawak ASP (B) Benjamin Gerisik Jais dan bagi pihak tentera Malaysia diwakili Lt Jen (B) Datuk Stephen Mundaw, masing-masing meletakkan kalungan bunga di makam polis dan tentera Malaysia.

Lee dalam ucapannya berkata upacara itu adalah penting untuk memperingati semua wira rakyat Malaysia dan Australia yang telah menyumbangkan tenaga dan mengorbankan nyawa mereka demi keamanan dan perpaduan di negara ini.

Beliau juga memberi penghormatan khusus kepada anggota tentera Australia yang telah mengorbankan nyawa mereka termasuk tawanan perang (POW) yang dihukum mati oleh Kempetai Jepun semasa ditahan di Kem Batu Lintang dan Jalan Stapok di sini pada tahun 1944 (semasa pendudukan Jepun) kerana setia dalam prinsip perjuangan demi menuntut pembebasan dengan memberi bantuan kepada tawanan perang Allied Prisoners of War di kem POW di sini.

“Pengorbanan mereka memberi kita keamanan dan keharmonian yang kita nikmati hari ini,” katanya dan menambah sepatutnya tiada peperangan yang tercetus dan setiap orang harus menghayati keamanan dan keharmonian.

Lee berkata sejumlah besar wang yang dibelanjakan untuk membeli senjata mahal harus digunakan untuk perkara yang bermanfaat seperti makanan dan untuk tujuan pembangunan.

“Peperangan tidak membantu manusia tetapi telah memusnahkan umat manusia dan kenapa kita harus berperang,” katanya.

Sempena upacara itu hari ini, Persatuan Bekas Polis juga turut mengambil inisiatif untuk memasang plak peringatan Polis Diraja Malaysia komponen Sarawak untuk memperingati wira polis yang tidak didendang, yang telah terkorban dalam operasi keselamatan di Sarawak ketika mempertahankan negara dan negeri itu.

Nama-nama mereka turut tertera dalam plak peringatan itu yang terdiri daripada 77 wira polis, kebanyakannya adalah Pasukan Pengakap Sempadan Sarawak, bersama-sama 26 anggota Pasukan Polis di Lapangan, Cawangan Khas dan Tugas Umum.

Kebanyakan anggota Pengakap Sempadan itu terbunuh di Bahagian Sibu di kawasan pedalaman ketika Pemberontakan Komunis Sarawak antara 1970-1972 – Bernama

Related Articles

Leave a Reply