Home Pertahanan dan Keselamatan Bukan keuntungan terkumpul, tetapi kerugian – LTAT

Bukan keuntungan terkumpul, tetapi kerugian – LTAT

by Noor Sheila Amin

Kuala Lumpur, 11 April – Ketua Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Nik Amlizan Mohamed mendedahkan keuntungan terkumpul yang  dinyatakan sebelum ini sebanyak RM 259.99 juta sebenarnya adalah kerugian terkumpul sebanyak RM 31.6 juta.

Menurut Nik Amlizan Mohamed yang mendedahkan Sijil Pendapat Berteguran  dari hasil penjualan pembangunan harta tanah berjumlah RM202.71 juta,  tidak boleh diiktiraf dalam penyata kewangan LTAT bagi tahun 2017.

“Kalau kita tengok di Sijil Pendapat Berteguran, terdapat kekhilafan iaitu tidak mematuhi garis panduan piawaian laporan tahunan kewangan.

“Apabila saya masuk (ambil alih LTAT), saya mendapati, garis panduan untuk menentukan bahawa proses itu boleh mengenalpasti pendapatan atau tidak, tiada.

Menurut Amlizan, transaksi itu tidak boleh diiktiraf selaras dengan “financial reporting standard 118” berkaitan pendapatan kerana kriteria-kriteria pengiktirafan pendapatan tidak dipenuhi.

“Jadi buat masa ini, kami sedang menjalani satu penstrukturan kembali dan juga untuk mengenalkan garis panduan yang lebih tepat supaya kekhilafan pada masa akan datang atau ketidakpatuhan piawaian tersebut tidak berlaku kembali,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

“Pengurusan baru memandang serius ke atas ketidakpatuhan tersebut dan bagi kami perlu, menentukan bahawa di masa hadapan ketidakpatuhan tersebut tidak berulang, jelasnya lagi.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dalam reaksinya berkata, wujud kekeliruan mengenai kerugian terkumpul dan bukan keuntungan terkumpul.

Turut hadir dalam  sidang media itu Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong serta Pengerusi LTAT Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin.

Related Articles

Leave a Reply