LANGKAWI, 28 Mac – Syarikat tempatan, T7 Global Bhd kini berupaya untuk menawarkan kepakaran tempatan dalam membekalkan sistem pengurusan tempur dan baik pulih permukaan pesawat.
Syarikat ini merupakan rakan strategik kepada Marine Crest Technology Sdn Bhd (MCT), yang merupakan pereka sistem kawal dan arah yang modular. Sistem ini merupakan sistem pengurusan yang pertama sepenuhnya buatan Malaysia.
Pada tahun lalu, T7 Global telah berjaya membida kontrak menaiktaraf sistem kawalan dan arah untuk kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang dijangka siap pada Ogos tahun ini.
T7 Global melalui anak syarikat mereka, T7 Kilgour Sdn Bhd (T7 Kilgour) merupakan syarikat usahasama antara T7 Global dengan syarikat Kilgour Aerospace Group dari United Kingdom. Kilgour Aerospace mempunyai pengalaman lebih 50 tahun dalam industri aeroangkasa.
T7 Kilgour menawarkan perkhidmatan rawatan permukaan pesawat khusus untuk industri aeroangkasa. Fasiliti baik pulih permukaan pesawat mula beroperasi sepenuhnya pada Mac 2019 di Serendah.
Bersempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2019 (LIMA’19), T7 mempamerkan kelengkapan yang menjadi kebanggaan negara. Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut meluangkan masa untuk melawat reruai pameran T7.
Dalam lawatan singkat beliau, Muhyiddin telah diberikan taklimat akan keupayaan anak tempatan dalam menghasilkan sistem pengurusan tempur dan perkhidmatan baik pulih permukaan pesawat serta perancangan masa depan syarikat.