Home Semasa Jabatan Laut batal slot perjalanan Dragon Star Shipping

Jabatan Laut batal slot perjalanan Dragon Star Shipping

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 19 Mac – Jabatan Laut Malaysia telah membatalkan semua slot perjalanan feri penumpang milik syarikat Dragon Star Shipping Sdn. Bhd. bagi laluan Pulau Langkawi, Kuala Kedah dan Kuala Perlis mulai semalam.

“Keputusan ini dibuat berdasarkan kepada semakan terhadap rekod perkhidmatan syarikat serta tahap pengurusan keselamatan feri-feri penumpangnya yang tidak memuaskan dan seterusnya menimbulkan risiko keselamatan kepada penumpang-penumpang,” jelas pihak Jabatan Laut Malaysia dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.

Susulan dengan pembatalan ini, pihak syarikat telah dilarang untuk menjalankan sebarang pengoperasian feri penumpang di Terminal Penumpang Kuah, Langkawi, Terminal Penumpang Kuala Kedah dan Terminal Penumpang Kuala Perlis.

Pada 26 Februari lalu, sebuah feri milik Dragon Star Shipping Sdn. Bhd. telah terbakar semasa dalam perjalanan dari Terminal Feri Kuah ke Kuala Perlis. Feri Dragon Star 1 yang membawa 52 orang penumpang itu terbakar 5 minit selepas berlayar.

Semua operasi perkhidmatan feri milik syarikat tersebut digantung serta-merta selepas kejadian tersebut berlaku.

Walaupun insiden itu tidak meragut nyawa, kebimbangan tahap keselamatan penumpang menjadi tumpuan pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri Kedah.

Pada awal Mac lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Asas Tani, Pengangkutan dan Industri Utama Kedah, Azman Nasrudin, menyatakan kerajaan negeri telah membuat saranan kepada kerajaan persekutuan untuk menamatkan perkhidmatan feri penumpang Dragon Star Shipping Sdn Bhd.

Menurut beliau, kerajaan negeri tidak mempunyai jalan lain bagi menggelakkan kejadian sama berulang terutamanya Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) akan bermula dari 26 hingga 30 Mac ini.

 

 

Related Articles

Leave a Reply